Thursday, September 10, 2009

last 10 nights in Ramadhan

from Pelita Brunei, "Menuju Keredaan Allah", 9hb September 2009:

SEPULUH MALAM TERAKHIR

DI BULAN Ramadan yang mulia ini ramai umat Islam melipatgandakan usaha mereka untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala bagi mendapatkan keampunan dan keberkatan-Nya kerana bulan Ramadan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar martabatnya di sisi Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya. Di antara malam-malam bulan Ramadan itu terdapat satu malam yang istimewa yang mana ianya lebih baik dan lebih utama daripada seribu bulan. Malam itu dipanggil dengan Malam Lailatulqadar.

Lailatulqadar merupakan satu malam yang mempunyai kelebihan dan keberkatan yang amat besar dan ianya adalah lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam tersebut umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang mengerjakan ibadat akan dikurniakan kemuliaan, kerahmatan, kesejahteraan dan keberkatan dari Allah Subhanahu Wata'ala kerana melakukan ibadat pada malam itu akan memperolehi pahala yang berlipat ganda. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Qadr ayat 3 yang tafsirnya:


"Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan."


Berlakunya Lailatulqadar tidak dapat diketahui kedudukannya yang tepat bilakah ia akan terjadi tetapi umat Islam digalakkan untuk meningkatkan amalan ibadat pada setiap malam di bulan Ramadan agar dapat diketemukan dengan malam tersebut dan tidak akan hanya beribadat pada malam tertentu sahaja. Sebahagian ulama berpendapat Lailatulqadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan di mana besar kemungkinan ianya berlaku pada malam berangka ganjil iaitu sama ada pada malam ke 21, 23, 25, 27 atau pada malam ke 29. Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dari A'isyah Radiallahuanha, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud:


"Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan."


Pada malam itu juga, Jibril Alaihissalam turun ke dunia disertai dengan para malaikat yang lain untuk memberikan penghormatan kepada umat Islam yang melakukan ibadat serta memberikan salam sejahtera kepada penduduk bumi. Allah Subhanahu Wata'ala memberi pengampunan kepada setiap orang yang bertaubat dan dibuka pintu langit bermula dari terbenam matahari hingga ia terbit kembali. Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda yang bermaksud:


"Barangsiapa berdiri dengan sembahyang dan ibadat pada Malam Lailatulqadar dengan iman dan ihtisab iaitu dengan keyakinan yang sempurna dan harapan yang ikhlas untuk memperolehi ganjaran-Nya nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."


Adapun tanda berlakunya Lailatulqadar itu ialah keadaan malam itu menjadi sunyi sepi yang dipenuhi dengan ketenangan serta bercahaya. Suasananya segar, tidak panas dan tidak pula sejuk tetapi dalam keadaan sederhana. Keadaan tersebut berterusan sehingga terbit fajar. Manakala tanda pada waktu pagi pula iaitu matahari akan naik berwarna putih, tidak memancarkan cahaya atau sinar yang terik. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi daripada Ubai bin Ka'ab Radiallahuanhu ia berkata yang bermaksud:


"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengkhabarkan kepada kami : Sesungguhnya Malam Lailatulqadar itu ialah satu malam yang paginya matahari terbit dengan tidak bersinar (teduh dan putih cerah)."


Umat Islam yang ditakdirkan untuk bertemu dengan Lailatulqadar itu digalakkan agar memperbanyakkan doa memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala daripada segala dosa yang telah dilakukan sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan At-Tirmidzi dari Sayidatuna A'isyah Radiallahuanha berkata yang bermaksud:


"Aku berkata : Wahai Rasulullah, apakah pandangan tuan hamba sekiranya aku mengetahui suatu malam itu ialah Lailatulqadar, apakah yang aku katakan (doa) pada malam itu? Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, katakanlah (berdoalah): Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosa-dosaku, Engkau Maha Pengampun, maka ampunilah aku."


Pada malam ke dua puluh satu Ramadan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lebih mempertingkatkan amalan Baginda kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan menghidupkan malam-malam tersebut dengan penuh ketakwaan dan keimanan. Baginda juga membangunkan ahli keluarga Baginda untuk mengerjakan sembahyang, beriktikaf di masjid dan sebagainya. Ini juga menjelaskan bahawa Baginda sendiri juga benar-benar berusaha untuk memperolehi Malam 'Lailatulqadar' itu kerana melakukan ibadat pada Malam 'Lailatulqadar' itu sangat besar ganjarannya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Abu Hurairah Radiallahuanhu yang bermaksud:


"Barangsiapa mengerjakan ibadat di Malam Lailatulqadar kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan keredaan-Nya, nescaya diampunilah dosanya yang telah lalu."


Oleh yang demikian itu, umat Islam digalakkan untuk mempertingkatkan amalan ibadat pada malam-malam bulan Ramadan agar tidak membiarkan Malam 'Lailatulqadar' berlalu begitu sahaja tanpa sebarang usaha untuk merebut peluang yang diberikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kerana keuntungan bagi orang yang melakukan amalan ibadat pada Malam 'Lailatulqadar' itu sangat besar keuntungannya dan tidak ternilai harganya.


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Qadr ayat 1 hingga 5 yang tafsirnya:


"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Qur'an ini pada Malam 'Lailatulqadar'. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam 'Lailatulqadar' itu?. Malam 'Lailatulqadar' lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat d an Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang (ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."


(Source: "Menuju Keredaan Allah", Pelita Brunei, 9hb September 2009)


No comments: