
(from Brunei Annual Report 1968)

(from Buku Rancangan Sambutan Jubli Perak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta, p58)


TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN
NEGARA
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN ISRAK DAN MIKRAJ TAHUN 1429H/2008M
BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS
PADA
HARI RABU 27 REJAB 1429/30 JULAI 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘
Beta bersyukur kerana dapat pula menghadiri majlis memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh dengan hikmah dan pengajaran ini.
Satu contoh indah dari peristiwa tersebut ialah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bertemu dengan suatu kaum yang bercucuk tanam dan juga menuai pada hari yang sama. Setiap kali tanaman dituai, ia tumbuh semula. Dituai lagi dan tumbuh pula sampai tidak putus-putus.
Peristiwa ini adalah merupakan gambaran orang-orang yang berjuang di jalan Allah, mereka itu beroleh pahala yang lumayan yang tidak berkesudahan.
Menyebut peristiwa bertanam dan menuai dalam kisah ini, mengingatkan kita lagi kepada isu pemakanan dunia sekarang. Makanan itu boleh menjadi punca kebaikan dan juga keburukan. Bila mana makanan mencukupi, maka ia akan membawa kepada kebaikan, tetapi sebaliknya, apabila ia kurang atau tidak ada, maka akan berlakulah huru-hara dan kebinasaan.
Jadi memang cantik dan tepat sekali gambaran yang dipaparkan oleh Allah menerusi peristiwa Israk dan Mikraj itu.
Menyebut mengenainya, kita jadi terpanggil untuk terus melihat isu krisis makanan yang sedang mengancam dunia pada masa ini. Kita wajar fokus untuk memberikan perhatian terhadapnya.
Bahkan, usaha juga perlu, selaku ikhtiar. Kerana agama juga adalah menyuruh berikhtiar.
Ini adalah selaras dengan kisah yang pernah berlaku, yang dipaparkan oleh Al-Qur’an, yang menyingkap peristiwa genting di zaman Nabi Allah Yusuf ‘Alaihissalam, bagaimana kerajaan dan rakyat dikehendaki supaya bersegera bercucuk tanam dengan cara besar-besaran bagi menghadapi krisisi makanan yang diramalkan akan berlaku akibat daripada kemarau panjang yang bakal menimpa negara.
Yang kita atau dunia kita sekarang, bukan lagi setakat di tahap ramalan, tetapi sudah benar-benar berlaku. Menurut fakta bernombor, ada sekitar 854 juta penduduk dunia sekarang sedang mengalami kelaparan, di mana bilangan tersebut terus bertambah empat (4) juta orang pada setiap tahun.
Tidakkah ini bermakna, dunia dan penduduknya sedang di ambang bahaya?
Maka oleh itu, beta tidak bosan-bosan untuk menegaskan bahawa negara kita adalah perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan tanaman, khasnya beras. Pastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri.
Pokoknya, peningkatan itu sangat perlu, sekurang-kurangnya untuk mengurangkan pergantungan kita kepada import yang terlalu besar. Kita perlu cepat mengatasi peningkatan yang terlalu perlahan.
Mudah-mudahan perhimpunan kita pada hari ini yang disempenakan dengan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, akan menyuntik kita untuk lebih berdaya maju, khasnya di bidang yang sedang mendapat perhatian istimewa dunia hari ini, iaitu bidang penghasilan makanan atau pertanian.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
(Source: Pressroom of Official Website of Information Department and Image (c) Infofoto 2008)
TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA
PERASMIAN MAJLIS ILMU 2008
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-62 TAHUN
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA (ICC), BERAKAS
23 REJAB 1429 BERSAMAAN 26 JULAI 2008
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula menghadiri Majlis Ilmu pada tahun ini.
Beta amat bergembira kiranya ia dilihat sebagai acara keraian yang penting dalam musim perayaan sambutan Hari Keputeraan beta sebagai wadah menghidangkan maklumat dan ilmu.
Ilmu adalah milik Allah dan Allah mengurniakan martabat yang tinggi kepada hamba-Nya yang memiliki ilmu. Ilmu ialah faktor tunggal yang mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang-benderang. Kerana itu Islam sangat mementingkan ilmu.
Prinsip mesti berilmu telah menjadikan Islam sebagai penerang kehidupan. Orang-orang Arab menjadi bangsa yang dihormati ialah apabila mereka didatangi oleh Islam. Eropah pula bangun daripada tidur apabila Islam sampai di Sepanyol, beralih dari the dark ages ke era sains dan teknologi. Dengan mementingkan ilmu, makanya umat Islam pernah melahirkan wisdom di Madinah, Damsyik, Qurduba,
Pada hemat beta, Majlis Ilmu adalah acara yang berfaedah dan perlu dipelihara. Daripadanya akan didapat maklumat-maklumat berguna, melalui penglihatan dan pendengaran.
Mengenai tema pula. Beta sangatlah tertarik dengan ungkapan tema Majlis Ilmu pada tahun ini yang berbunyi: Menghayati Negara Zikir.
Beta memang berazam untuk melihat Brunei Darussalam menjadi Negara Zikir.
Suka beta tegaskan di sini, bahawa azam beta ini bukanlah retorik. Tetapi bersumber dari keyakinan mendalam bahawa Negara Zikir itu akan menjadi ‘tuah’ kepada semua, kerana ia pasti disukai oleh Allah, Tuhan Maha Pencipta, dan akan mendapat rahmat serta pertolongan-Nya.
Dengan konsep Negara Zikir, kita insya-Allah, akan membangun negara dan kehidupan, dengan perkara-perkara yang dipandang baik serta bagus oleh Allah dan juga oleh manusia. Kita akan usahakan kecemerlangan dengan konsep ini.
Ertinya, anak-anak kita cemerlang dalam pelajaran, orang teknikal kita cemerlang, doktor kita cemerlang, pengusaha kita cemerlang, pentadbir kita cemerlang, pemegang polisi kita cemerlang, pekerja kita cemerlang, pendeknya semua kita ini adalah cemerlang kerana keramah dan berkat zikir (ingatan kepada Allah Ta’ala).
Cuma syarat terpenting di sini, semua pihak mestilah sama-sama memahami characteristic Negara Zikir itu, apa fundamentalnya dan bagaimana ruang lingkupnya, supaya kita benar-benar meyakininya sebagai acuan dan landasan yang sangat-sangat kita perlukan.
Untuk itu, beta mengambil maklum bahawa satu seminar telah pun diaturkan untuk mendengar apa-apa jua buah fikiran dan huraian mengenai Negara Zikir, yang akan disampaikan oleh para pakar yang diundang khas daripada dalam dan luar negara.
Beta ucapkan Selamat Berseminar.
Dengan mendahulukan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Alhamdulillaah, Allahumma Salli ‘Alaa
Sayyidinaa Muhammad, Wa ‘alaa Aali Sayyidina Muhammad, beta rasmikan Majlis Ilmu 2008 dengan tema ‘Menghayati Negara Zikir’.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
extracted from Pressroom of Official Information Department's website
image (c) Information Department 2008
