Monday, July 21, 2008

Pelita Brunei going online daily

from Pelita Brunei, (Oleh : Dk. Hjh. Fatimah Pg. Hj. Md. Noor)


Penerbitan PELITA BRUNEI dan Pelita Online Harian, buka lembaran baru

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 Julai. Akhbar Rasmi Kerajaan, PELITA BRUNEI (PB) terbitkan Jabatan Penerangan mencipta satu lagi sejarah terbaru dengan menerbitkan PB dua kali seminggu dan 'Pelita Online Harian' yang kini boleh dilayari bermula jam 8.00 pagi.


Ketika ditemu bual secara eksklusif, Pengarah Penerangan, Awang Haji Mahrub bin Haji Murni berkata, usia PB telah pun mencapai 52 tahun dan hari ini kita menyaksikan pencapaian terbaru bila mana PB yang dulunya diterbitkan sekali seminggu, kini dua kali seminggu iaitu Edisi Rabu dan Edisi Sabtu yang bermula pada 9 Julai lepas.


Sesungguhnya Pelancaran Pelita Online Harian dan Penerbitan PB Dua Kali Seminggu hari ini tegasnya adalah mengambil 'sukut' ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-62 . Ini adalah satu lagi bukti usaha berterusan Jabatan Penerangan melalui PB bertindak sebagai wadah untuk menyebarkan maklumat terutamanya mengenai dasar-dasar kerajaan, hal ehwal kerajaan, kemajuan dan pembangunan negara dan seumpamanya kepada rakyat dan penduduk negara ini.


Sehubungan dengan itu, tegas beliau PB akan terus berpacu memberikan dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai di negara ini selaras dengan motonya 'Membudayakan Masyarakat Bermaklumat' melalui pelbagai penulisan berita dan rencana.


Menurutnya, dalam masa yang sama dengan sistem baru yang diperuntukkan oleh kerajaan baginda bernilai BND1 juta mampu meningkatkan kapisiti PB bukan sahaja dari segi percetakan tetapi juga Pelita Online Harian yang dulunya diterbitkan seminggu sekali sejak tahun 1994 kini sudah dilayari sejak 7 Julai bermula jam 8.00. pagi.


Beliau juga melahirkan rasa syukurnya kepada Allah, kerana memberikan kekuatan kepada seluruh warga PB. "Inilah anjakan pradigma dan budaya kerja yang baru, kalau dulu kita bekerja mengikut waktu rasmi daripada jam 7.30 kepada jam 4.30 petang dan kini secara rasmi kita memulakan budaya kerja dan silih ganti dalam dua kumpulan dan bekerja dari jam 2.00 petang sehingga menjangkau jam 12.00 malam, pada hari tertentu yang perlu dimuatkan untuk hari berikutnya," katanya.


Kesemua ini tegasnya, sebahagian bukti dan kenyataan tentang hasrat pemimpin-pemimpin yang terdahulu iaitu pengarah-pengarah Penerangan terdahulu yang berusaha untuk merealisasikan penyaluran maklumat yang cekap, cepat dan efisien. Di samping tambahnya, alhamdulillah hari ini, seluruh warga jabatan ini khususnya warga PB dapat menanganinya dengan baik dan kita bersyukur di mana pada 9 Julai dan 12 Julai lepas inilah kali pertama keluaran PB dapat direalisasikan, manakala PB Online bermula pada 5 Julai dapat dilayari setiap hari.


"Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Percetakan kerana tanpa kerjasama yang padu dan erat daripada mereka, penerbitan PB tidak akan direalisasikan seperti mana yang kita capai pada hari ini. Jabatan Percetakan memperbantukan warga kerjanya kepada Jabatan Penerangan bagi usaha-usaha mengemas kini dan melicinkan lagi proses penerbitan PB yang mana akhirnya kita berada pada takuk yang baru dengan sistem 'Tera' dapat dimanfaatkan 100 peratus dengan baik. Kita berharap dengan kedatangan mesin yang baru yang dipesan oleh Jabatan Percetakan, insya-Allah dapat beroperasi sepenuhnya dalam bulan Oktober atau November 2008 dan ini akan menambah baik kepada kualiti PB seterusnya.


Dengan kewujudan PB dan Pelita Online Harian, Jabatan Penerangan beliau berharap seluruh agensi kerajaan khususnya kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan akan dapat mengaktifkan 'perhubungan awam' mereka untuk menulis rencana, berita laporan bagi jabatan dan kementerian masing-masing kerana inilah satu-satunya wadah kerajaan bagi menyebarkan maklumat ini.


"Jadi dengan adanya 'input' dari mereka, ianya menjadikan PB ini jauh lebih berbeza daripada media-media tempatan dan menjangkakan dengan adanya sistem yang baru ini akan mampu untuk meningkatkan profesionalisme di kalangan warga PB dengan meningkatkan kapisiti mereka dan mampu untuk menjalinkan jaringan-jaringan kerja yang lebih baik dan menambahbaikkan dari segi input daerah-daerah tanpa mobiliti secara fizikal dengan cepat, cekap dan tepat.


Pengarah Penerangan juga menyentuh pada masa yang sama, Jabatan Penerangan melalui bahagian laman web bahasa Inggeris, Brunei Darussalam Newsletter yang dulunya diterbitkan sekali sebulan akan mula diterbitkan dua kali sebulan dan pada masa yang sama online dalam bahasa Inggeris juga akan dapat diusahakan dan bergantung kepada sumber tenaga yang ada.


Akhbar Rasmi PELITA BRUNEI diterbitkan oleh Pejabat Penerangan Kerajaan Brunei pada 15 Februari 1956 dalam bentuk siklostil setebal 19 halaman termasuk halaman depan yang mengandungi senarai kandungan. Edisi pertama akhbar ini dicetak sebanyak 300 naskhah dan diedarkan secara percuma. Kandungannya antara lain meliputi titah Almarhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien.

No comments: