Jabatan Pertanian kini jadi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan
TUNGKU, GADONG, Khamis, 19 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalan bertitah mengumumkan bahawa, Jabatan Pertanian kini menjadi Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Perubahan ini, tegas baginda, adalah memandangkan usaha-usaha penyediaan bahan makanan adalah melibatkan secara langsung bidang pertanian.
Di samping itu, pembangunan sektor pertanian dan agrimakanan sendiri amat memerlukan peralihan dari pertanian jenis tradisi kepada pertanian berteknologi tinggi; dari pertanian jenis kecil-kecilan kepada pertanian berunsurkan komersial berskala besar dan dari jenis pertanian sambilan kepada jenis pertanian sepenuh masa, titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Ekspo Pertanian dan Agrimakanan dan Melancarkan Pembukaan Taman Agroteknologi Brunei di Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku, di sini.
Titah baginda, bidang pertanian sejak akhir-akhir ini adalah satu bidang yang amat penting dan merupakan salah satu tonggak utama dalam perekonomian negara.
Perkara ini lebih penting lagi, tegas baginda, memandangkan kepada krisis global yang berkaitan dengan perubahan iklim, di mana diburukkan lagi dengan berkurangnya kawasan-kawasan yang boleh dijadikan kawasan pertanian.
Menyentuh mengenai sejarah penubuhan Jabatan Pertanian, ia yang diwujudkan pada tahun 1932 melalui pentadbiran Dr.H.Tempany, Pengarah Pertanian Malaya merangkap Penasihat kepada Brunei Darussalam.
Pada tahun 1946, jawatan Pegawai Pertanian diwujudkan bagi urusan pertanian Negara Brunei Darussalam, yang sebelum ini ditadbirkan Kerajaan Penjajah British di Malaya, Awang Hamidon bin Awang Damit yang merupakan anak Brunei pertama dilantik memegang jawatan Pegawai Pertanian bagi tempoh 1949 hingga 1968.
Perkhidmatan Pertanian di negara ini seterusnya mendapat taraf jabatan penuh pada tahun 1968 dengan pelantikan K.G.Malet sebagai Pengarah Pertanian. Sehingga pada tahun 1980, jawatan Pengarah Pertanian disandang oleh anak Brunei iaitu Dato Paduka Hamid bin Jaafar.
Di samping itu perkembangan pertanian di negara ini mempunyai sejarah pembangunan yang membanggakan, bukan sahaja dari segi kepentingan ekonomi, tetapi juga pembangunan sosial dan budaya bangsa.
(Oleh : Zabaidah Haji Salat)
No comments:
Post a Comment