Sunday, August 1, 2010

Titah KDYMM sempena Upacara Perbarisn Diraja

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Upacara Perbarisan Diraja Sekolah Pegawai Kadet Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bertempat di Perkhemahan Sungai Akar pada hari Khamis 17 Syaaban 1431/29 Julai 2010


Image (c) Infofoto


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Terlebih dahulu beta ingin mengucapkan tahniah di atas persembahan kawat yang telah dipersembahkan tadi a very good drill, syabas.

Beta ingin menyampaikan rasa gembira atas berjayanya para Pegawai Kadet Pengambilan Ketiga menamatkan latihan mereka selama 42 minggu di Sekolah Pegawai Kadet, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sovereign’s Parade Pengambilan Ketiga pada pagi ini adalah mercu tanda pencapaian bagi semua Pegawai Kadet serta turut menjadi kebanggaan para ibu bapa dan keluarga mereka. Ia juga dikongsi sama oleh seluruh warga Sekolah Pegawai Kadet.

Beta amatlah bangga dan besar hati menyaksikan ketangkasan dan kebolehan mereka menguasai disiplin dengan sebaik-baiknya, yang menjadikan mereka bertambah hebat lagi serta lebih diyakini untuk berjaya memikul semua tugas yang berat-berat. Maka untuk itu, beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada mereka.

Inilah detik permulaan bagi kepimpinan setiap pegawai tentera.

Mereka adalah benteng pertahanan negara, penjaga dan pengamal keamanan serta penyelamat di saat-saat menghadapi musibah.

Inilah cabaran dan tanggungjawab pemimpin tentera. Kerana itu mustahak ditanam kepada mereka nilai-nilai murni, serta dilengkapi dengan ilmu-ilmu ketenteraan.

Hubungan di antara ketua dan mereka yang dipimpin turut menjadi asas kepimpinan yang berkesan.

Walaupun setakat memberi salam kepada orang bawahan pun sudah menunjukkan kepimpinan terhadap anak buah.

Inilah namanya kepimpinan, bukan keistimewaan. Ia datang daripada pegawai atasan itu sendiri.

Melalui sikap yang baik, akan dapat dijalin hubungan yang mesra di antara pegawai dan anggota tentera pada keseluruhannya. Ini sudah tentu akan menambahkan lagi imej baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada umum.

Dalam hubungan ini, beta ingin mengingatkan semua Pegawai Kadet dan anggota tentera amnya, supaya terus memelihara imej dan nama baik Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Dengan imej dan nama yang baik itulah, ia layak dihormati dan juga layak untuk menjadi tunggak kepada kedaulatan agama, raja, tanah air dan bangsa.

Di sinilah beta melihat, peranan Sekolah Pegawai Kadet untuk menanam nilai-nilai yang baik bagi penyediaan corps pegawai masa depan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Pada pengambilan kali ini, untuk julung kalinya, empat orang Pegawai Kadet Wanita akan menceburi bidang baru bagi mereka, selaku naval officer dalam Tentera Laut Diraja Brunei.

Kementerian Pertahanan, sesungguhnya tidak pernah berhenti dari berusaha mempertingkatkan kemahiran dan penguasaan dalam bidang-bidang ketenteraan dan pertahanan.

Dengan bermulanya Joint Command and Staff Course pada bulan November nanti, akan terbukalah lembaran perkembangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam bidang latihan dan pembelajaran, khusus bagi pegawai-pegawai peringkat tinggi.

Di samping itu beta juga telah memperkenankan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi Pertahanan yang akan memainkan peranannya bagi perancangan strategik dan pemodenan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Dengan tertubuhnya pusat ini, Kementerian Pertahanan akan maju setapak lagi dalam pembangunan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei secara komprehensif dan seimbang.

Beta ingin menekankan kepada pihak yang berkenaan, supaya tahap pemberian latihan sentiasa dijaga dan juga termasuk melakukan review process bagi memastikan standard Sekolah Pegawai Kadet ini setaraf dengan institusi-institusi yang lain.

Kepada para ibu bapa dan keluarga Pegawai-pegawai Kadet, peristiwa ini adalah merupakan kejayaan bagi mereka juga. Kesabaran, doa dan sokongan mereka amat dihargai, demi kejayaan dan perjuangan suci anak-anak mereka.

Akhirnya beta turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, dalam menjayakan Sovereign’s Parade Pengambilan Ketiga, terutama Komandan, Pegawai Pemerintah, Colour Sergeant dan pegawai-pegawai daripada Sekolah Pegawai Kadet.

Dengan kalimat yang penuh berkat, Bismillahir Rahmanir Rahim, beta dengan sukacita mengurniakan tauliah sebagai Pegawai Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada 32 orang Pegawai Kadet Pengambilan Ketiga.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Pressroom of Information Department, Prime Minister's Office

No comments: