Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Perasmian Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada Hari Khamis, 18 Zulhijah 1431 / 25 November 2010
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Beta bersyukur, kerana Angkatan Bersenjata Diraja Brunei – sekali lagi – dapat dianggap telah menempa sejarahnya dalam pembangunan.
Kali ini berjaya menubuhkan sebuah institusi pengajian tertinggi tentera: Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei atau Staff College of the Royal Brunei Armed Forces.
Beta sangatlah bangga, kerana Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei terus bergerak ke arah meningkatkan lagi perkhidmatannya.
Sebagai usaha yang berterusan, maktab ini akan memantapkan lagi pengurusan dan perkembangan sumber tenaga, serta insya-Allah, akan melahirkan pegawai-pegawai peringkat tertinggi yang berkemahiran dan berpengetahuan.
Dalam era global, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei tidak terlepas dari turut berhadapan dengan pelbagai keadaan rumit, yang memaksanya mesti bersikap lebih beranai dan waspada. Ia perlu terus peka dengan setiap pergolakan, dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Objektif ini tidaklah boleh dicapai dengan bersikap pasif dan berpeluk tubuh.
Kita perlu proaktif dan dinamik dalam menyesuaikan diri dengan keadaan.
Maka untuk itu, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei haruslah pandai mengambil pendekatan praktikal, dengan penekanan kepada inter-agency dan multi-national operations, terutama dalam konsep ‘operasi bersama’ atau ‘jointly’ dan Joint Operational Planning.
Dalam konteks ini, Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei perlu menanamkan kefahaman tentang keutamaan dan kualiti kepimpinan, serta juga mempunyai kesedaran terhadap keadaan sekeliling yang ada kaitan dengan kepentingan strategik.
Konsep operasi bersama atau ‘jointry’, bukan saja perlu dimiliki, malahan mesti dikembangluaskan terus-menerus, demi pencapaian menyeluruh, dan juga untuk memenuhi hasrat seluruh stakeholders.
Atas kepentingan inilah, kita juga menghargai penyertaan pegawai-pegawai daripada negara-negara sahabat dan agensi keselamatan negara lain. Mereka ini akan turut menghidangkan perspektif dan pengalaman mereka yang tersendiri dalam menangani isu-isu keselamatan dan latihan serta pengajian.
Interaksi di antara mereka akan turut memperkaya pembelajaran dan pengalaman serta pertukaran idea secara timbal balik, dan juga akan lebih mempereratkan lagi kerjasama pertahanan atau networking di antara negara-negara peserta.
Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan yang sesuai bagi peserta-peserta kursus yang berjaya.
Sebagai hasil kerjasama dengan University Massey dari New Zealand, para peserta akan dianugerahkan Post Graduate Diploma dalam bidang Defence and Strategic Studies, di samping diberikan juga peluang untuk meneruskan pembelajaran ke peringkat Ijazah Lanjutan.
Ini adalah merupakan satu pendekatan yang baik lagi menguntungkan untuk para peserta kursus.
Dalam aspek lain pula, penubuhan Maktab Turus Tentera ini juga akan membuka jalan kepada pembentukan Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Beta juga ingin melihat, kursus ini akan menjadi sebuah kursus yang berprestij, yang akan membantu Akademi Pertahanan untuk menjadi sebuah pusat kecemerlangan dalam perkembangan profesional ketenteraan, setanding dengan institusi lain di rantau ini.
Setiap kursus yang dijalankan oleh Akademi Pertahanan, seharusnya akan sentiasa dipantau dengan melaksanakan validasi yang bersesuaian demi untuk menentukan ianya sentiasa relevan mengikut perkembangan masa dan keadaan. Beta percaya jika ini dilaksanakan, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan mencapai matlamatnya dengan baik.
Untuk akhirnya, beta mengucapkan syabas kepada semua pegawai yang telah terpilih bagi menghadiri Kursus Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang pertama ini.
Dengan kalimah agung lagi berkat: Bismillahir Rahmanir Rahim, beta rasmikan Maktab Turus Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments:
Post a Comment