Showing posts with label Maulud Nabi. Show all posts
Showing posts with label Maulud Nabi. Show all posts

Tuesday, February 22, 2011

Titah KDYMM sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam 1432H

Image (c) Infofoto 2011


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada hari Isnin, 12 Rabiulawal 1432 Hijriah bersamaan 15 Februari 2011 Masihi.

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh




Bismillahir Rahmanir Rahim




Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een,Waba'du.




Beta bersyukur, kerana kita umat Islam dapat lagi menyambut dan memperingati sejarah keputeraan Junjungan Besar kita, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Rasul utusan Allah dan selaku rahmat bagi alam seluruhnya.




Telah menjadi ristaan, bahawa Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam diutus ke tengah-tengah masyarakat jahiliah yang rosak segala-galanya : rosak akhlak dan rosak nilai-nilai hidup.




Pada ketika itu tidak ada keluhuran undang-undang dan tatasusila. Semuanya berhakim dengan hati dan hawa nafsu. Namun setelah Baginda diutus, cahaya kebenaran mula memancar, menyinari masyarakat dan bumi yang gelap-gelita.




Apakah faktor yang membawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berjaya membentuk masyarakat dan negara yang sempurna? Jawabnya : kerana Baginda terlebih dahulu, mengambil kira pembinaan insan, sebelum lagi soal-soal kenegaraan.




Baginda telah menanam iman, menggilap jiwa dengan tauhid dan menghiasi hati dengan sifat-sifat terpuji, sebelum lagi yang lain-lain itu.




Inilah satu keteladanan yang sayugia jangan diabaikan. Kerana di sana, pada hemat beta, ada rahasia besar, mengapa Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam mengutamakan lebih dahulu pembangunan insan dari yang lain-lain.




Di antara rahasianya yang dapat dikesan ialah, kerana insan itu adalah jentera. Dia juga penggerak dan dia juga tonggak untuk melakukan sebarang pembangunan. Kalau jentera, penggerak dan tonggak berfungsi dengan elok, bukankah apa-apa jua yang dibangun nanti, akan mengikut elok juga?




Oleh itu, bagi umat Islam di mana saja, yang ingin berjaya seperti kejayaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam membangun, termasuk membentuk negara sejahtera, mereka itu diperlukan mengikut formula Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ini.




Dan ini, selaras dengan perintah Allah sendiri kepada kita, seperti firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab, ayat 21, tafsirnya:“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (reda) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia itu pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”




Ayat ini sangat terang memberi isyarat, supaya kita mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, apa jua yang ada dan datang dari Baginda, kita contohi, barulah ada makna kita menjadikan Baginda itu pemimpin dan penghulu kita dan baru juga ada harapan untuk kita menjawat berkat dan rahmat di dalam kehidupan.




Dalam makna, ayat ini juga, menghendaki kita supaya berpegang kuat kepada ajaran yang dibawa oleh Baginda, sebagaimana Baginda sendiri juga berbuat yang sedemikian itu. Dengan pegangan yang kuat ini, kita akan menjadi umat yang sempurna, yang taat kepada Allah yang berakhlak mulia lagi bermaruah.




Jadi amat sesuai tema sambutan kita pada tahun ini mengungkap : 'Membina Sahsiah Dengan Ajaran Rasulullah'.




Ia lebih relevan lagi dengan fenomena hari ini, di mana dunia sedang meratap kerana dilanda oleh pelbagai gejala buruk, terutama gejala sosial yang menular, yang mengheret semula dunia memasuki era gelap-gelita yang bernama jahiliah.




Beta percaya, hanya dengan menguatkan pegangan agama serta menghayati sunnah-sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sahaja, penyakit menular ini akan dapat dibanteras.




Beta berharap, sahsiah mulia acuan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan tumbuh dengan suburnya di negara ini, menjadi tunjang kepada kemajuan dan pembangunan sepanjang zaman.




Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




(Source: Pressroom, Information Department)

Sunday, February 28, 2010

Titah KDYMM Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1431H / 2010M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi pada hari Sabtu, 13 Rabiulawal 1431 / 27 Februari 2010.

(c) Infofoto 2010

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya jua, kita dapat lagi pada tahun 1431 Hijriah ini, meraikan Maulud Nabi kita, Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Di kesempatan ini, sudah sepatutnya kita isikan ia dengan selawat dan salam ke atas Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam dan juga jangan lupa untuk mengambil contoh teladan dari sunnah-sunnah Baginda sebagai tanda cinta dan penghormatan kita terhadap Baginda. Bagindalah pembawa cahaya, yang menerangi alam maya ini, di mana sebelum itu, dunia terjerumus ke dalam kancah kegelapan dan kesesatan. Cahaya tersebut ialah agama Islam.

Dalam usaha menyebar dan memperjuangkan agama Islam itu, Baginda berhadapan dengan pelbagai rintangan dan ujian. Bukan saja rintangan daripada musuh, malahan juga dari kaum keluarga Baginda sendiri. Namun segala percubaan, dihadapi oleh Baginda dengan sabar dan tabah. Baginda tidak undur, malah terus menyebarkan agama Allah dengan keyakinan, bahawa Allah pasti menolong Baginda.

Dari manakah datangnya kekuatan dalam diri Baginda untuk menghadapi semua ini?

Jawabnya dari keimanan dan keikhlasan kepada Allah. Iman dan ikhlaslah yang membuat kuat itu. Kalau ada iman dan ikhlas, semua rintangan mampu dihadapi.

Kemampuan itu bukan saja datangnya dari kita sendiri,malahan juga ditambah dengan pertolongan Allah, kerana kita menolong agama-Nya, sebagaimana janji-Nya dalam surah Muhammad, ayat 7 tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kalau kamu menolong Allah yakni membela agama Allah, nescaya Allah akan menolong (membela) kamu juga (pada mencapai kemenangan) dan (Dia juga) akan meneguhkan pendirian kamu."

Ini janji kepada orang yang ikhlas kerana Allah. Ikhlas kepada agama-Nya. Rahsia ikhlas itu amatlah agung, dalam apa saja perkara. Ia sangat berkat lagi dituntut, bukan saja dalam beribadat, malahan juga dalam semua keadaan: dalam belajar, dalam mencari nafkah, dalam kehidupan berkeluarga dan bernegara, semuanya menghendaki ikhlas. Jika tanpa ikhlas, akan pahitlah natijahnya.

Ikhlas adalah penawar atau ubat segala kepincangan. Khasnya dalam bidang pekerjaan atau tugas, jika seseorang itu sungguh-sungguh ikhlas, maka sudah barang tentu dia akan bersih dari segala macam sifat buruk, seperti tamak, dengki, tidak amanah, rasuah dan seumpamanya. Inilah dia kepentingan ikhlas itu.

Beta sangat berharap, dalam keghairahan kita menyambut Maulud Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ini, seluruh rakyat dan penduduk, tanpa mengira kedudukan dan peringkat, akan mengamalkan sifat ikhlas itu dalam kehidupan, supaya kita benar-benar menjadi bangsa yang dirahmati oleh Allah, yang dilimpahi dengan pelbagai nikmat dan kelebihan.

Kita mesti mencari untung dengan kebajikan, bukan sebaliknya. Keuntungan yang diraih dengan kebajikan, nilainya adalah tinggi, berbanding yang didapat melalui kerja- kerja curang, akan mengundang dan menghumbankan kita kepada kecelakaan di dunia mahu pun di akhirat.

Oleh itu, marilah kita sama-sama memakai 'pakaian ikhlas' yang cantik lagi suci ini, dihadapan Allah dan juga dihadapan sesama insan, supaya hidup kita penuh berkat, dikasihi serta disenangi oleh Al-Khaliq (Maha Pencipta) dan makhluk-Nya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room of Information Department

Saturday, February 27, 2010

Happy Maulidur Rasul

My favourite food for thought Islamia from the Brunei Times, 26th February, 2010:
Available online: http://www.bt.com.bn/en/files/digital/Islamia/Issue87/SP26Feb.1.pdf

click on the image to enlarge and read :-)

Summary:

  • Prophet Muhammad (PBUH) was the most perfect human being on Earth
  • Follow the teachings of our Prophet (PBUH) in every sphere of life
  • "He who obeys the Messenger (Muhammad) has indeed obeyed Allah, but he who turns away, then we have not sent you (Muhammad) as a watcher over them." (An-Nissa/ 4:80)

Wednesday, March 11, 2009

Titah KDYMM sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W. 1430H/2009M

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1430 Hijrah / 2009 Masihi Pada 12 Rabiulawal 1430 / 9 Mac 2009


TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

SAMBUTAN MAULUD NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ALAIHI WASALLAM TAHUN 1430 HIJRAH/2009 MASIHI

PADA

12 RABIULAWAL 1430/9 MAC 2009

(image (c) Infofoto 2009)

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een. Waba’du.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas nikmat yang dianugerahkan-Nya kepada kita semua. Dengan nikmat-Nya itu dapatlah kita meraikan lagi Hari Keputeraan Junjungan Besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Keagungan Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah kerana Baginda itu menjadi Rasul pembawa rahmat kepada alam seluruhnya.

Hasil dari itu, umat Islam telah dapat membangun tamadun yang bertunjangkan aqidah, kasih sayang dan sikap saling hormat-menghormati sesama manusia. Inilah punca kekuatan dan keteguhan yang Baginda asaskan.

Prinsip kasih sayang dan saling hormat-menghormati inilah, yang kita amalkan dalam meniti usia kedewasaan bernegara. Kerana kita percaya kemajuan dan pembangunan negara adalah lebih mudah untuk diungkayahkan melalui amalan saling menyayangi dan saling menghormati itu. Oleh itu janganlah sesiapa berfikir untuk bertindak yang sebaliknya. Kita hidup harmoni dan aman damai adalah kerana kasih sayang. Kita teguh dan bersatu padu adalah kerana amalan hormat-menghormati sesama sendiri. Inilah punca rahmat Allah kepada kita. Kita telah mengamalkan ‘hablun minannas’ iaitu menjaga hubungan dengan sesama manusia, di samping memelihara dengan kuatnya ‘hablun minallah’ iaitu hubungan dengan Allah, dalam makna sentiasa membuat ketaatan.

Inilah yang berlaku di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat, mereka itu dengan kuatnya berpegang kepada ‘tali Allah’, sehingga kekuatan menjelma dan kebajikan tersebar di kalangan ummah.

Mereka sama sekali tidak membelakangi Hukum Allah dan Rasul di dalam apa jua keadaan, yang menjadikan mereka terus dihormati lagi digeruni.

Inilah yang sebenar-benarnya rahsia kejayaan itu. Manakala Allah tidak dibelakangi, Dia pun tidak akan membiarkan kita bersendirian. Kalau kita berhajat kepada kemuliaan, Dia akan muliakan kita. Kalau kita mengingini perlindungan-Nya, Dia akan lindungi kita. Kalau kita berhasrat mengusahakan kemakmuran, Dia akan tunjuk jalan, bagaimana untuk memperolehi kemakmuran itu.

Dalam situasi dunia mengalami pelbagai penyakit moral dan cabaran semasa, maka pada hemat beta, suri teladan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan para sahabat mustahaklah dilihat. Ibarat orang yang sakit, kita tidak wajar diam melainkan perlu mencari ubat.

Satu contoh penyakit itu ialah penyakit ‘kurang celik atau lemah agama’. Apakah ubatnya penyakit ini kalau berpandukan suri teladan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam?

Ubatnya itu, menurut suri teladan Baginda ialah pembelajaran seumur hidup, berdasarkan maksud hadis: “Menuntut ilmu itu wajib ke atas orang Islam lelaki dan perempuan.” Ini dikuatkan lagi dengan ada ungkapan: Dari buaian sampai ke liang lahad. Kalau konsep belajar apa jua ilmu, disuruh sampai ke liang lahad, maka bukankah ilmu agama itu terlebih afdal dan wajib lagi?

Inilah yang beta nampak, untuk kita dapat survive selaku bangsa dan negara yang aman jaya, maka tidak boleh tidak, pendidikan agama mestilah wajib ke atas tiap-tiap batang tubuh Muslim itu, dan insya-Allah dengan cara ini, semua akan mendapat berkat dan cahaya daripadanya.

Akhirnya beta berharap semoga usaha berkebajikan kita memperingati keputeraan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ini akan menumbuhkan keberkatan dan ketaqwaan kepada kita semua.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room of Information Department