Showing posts with label hijrah. Show all posts
Showing posts with label hijrah. Show all posts

Tuesday, December 14, 2010

Titah KDYMM sempena Awal Tahun Hijrah 1432

Image (c) Infofoto 2010


Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sempena Hari Raya Aidiladha 1431 Hijrah / 2010 Masihi

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Kita bersyukur, kerana dapat lagi menyambut Aidiladha yang mulia, hari yang penuh berkat lagi sarat dengan pengajaran ini.

Di mana saja umat Islam berada akan mengalami getaran takbir mengagungkan Ilahi. Takbir pada hari ini, biasanya amat berpengaruh kepada hati, kerana ia diucapkan dengan beramai-ramai dalam suasana yang penuh harmoni.

Tempatnya pula di masjid, iaitu Rumah Allah yang suci, suatu faktor yang turut menambah lagi keakraban kita kepada-Nya dan kepada Islam.

Inilah yang sepatutnya berlaku kepada kita, iaitu sentiasa hampir kepada Allah dan kepada agama-Nya, Islam.

Tetapi dunia sekarang, tidak menyediakan lebih banyak ruang untuk manusia dapat bertaqarrub kepada Allah dan Islam, malah adalah sebaliknya. Gejala-gejala kehidupan yang melekakan sahaja sudah cukup untuk memalingkan kita dari mendekati Allah, dan kerana itu pula, tidaklah hairan, jika dunia sering menangis dilanda bencana.

Mengapa bencana datang?

Ramai orang melihatnya dari sudut lahir semata-mata, tanpa mempedulikan sebarang hikmah di sebalik kejadian. Apabila terjadi satu-satu bencana atau tragedi, orang akan menganggap, bahawa ini adalah kemujuran biasa sahaja, tidak lebih dari itu.

Apakah ini betul?

Tentunya tidak! Kerana setiap kejadian itu adalah berlaku dengan kehendak Allah, bukan terjadi dengan sendirinya.

Menurut pendekatan Al-Qur’an, terjadinya kerosakan atau bencana di muka bumi ialah kerana dosa-dosa manusia.

Jadi, jika seseorang itu mendekati Allah, sudah barang tentu dia dapat memahami kedudukan ini.

Inilah pentingnya mendekatkan diri kepada Allah itu. Orang yang dekat dengan Allah imannya subur, keinsafannya tinggi dan akhlaknya luhur. Kalau ramailah orang-orang macam ini, insya-Allah, negara aman dan dunia pasti akan sentosa.

Itulah makanya, Allah sendiri telah melatih kita, bagaimana hendak mendekatkan diri kepada-Nya. Di antara latihan itu ialah melalui ibadat korban.

Dengan melakukan ibadat ini, bererti satu langkah ke hadapan mendekati Allah. Binatang yang kita sembelih, adalah untuk Allah, yakni semata-mata kerana Allah, kerana menjunjung titiah perintah-Nya, kerana mengharapkan reda-Nya.

Itulah dia ibadat korban.

Orang yang jauh dari Allah, tentu sahaja tidak komited dengan ibadat ini, kerana ia bersifat pengorbanan, dan setiap pengorbanan itu berat untuk dilakukan, kerana melakukannya ialah dengan tenaga, masa dan harta benda.

Tetapi jika hati dekat dengan Allah dan dengan Islam, maka semua yang berat akan menjadi ringan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Marilah kita sama-sama berazam untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah dan kepada Islam, serta berdoa semoga negara kita sentiasa diberkati dengan pemeliharaan-Nya, beroleh keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berpanjangan.

Akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan tulus ikhlas serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al-Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana sahaja mereaka berada. Tidak lupa juga kepada mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah, semoga Allah mengurniakan kepada mereka haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Source: Press Room, Information Department

Thursday, December 24, 2009

Titah KDYMM sempena Awal Tahun Hijrah 1431

(c) Infofoto 2009

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Awal Tahun Hijrah 1431

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, kita sekarang berada dalam Tahun Baru Hijrah 1431. Kita berdoa, semoga ia membawa keberkatan yang diharap-harapkan kepada negara dan bangsa.

Semoga juga kehadirannya, akan menyuntik kesedaran baru untuk umat Islam di bidang ‘pembinaan diri’, bukan saja di Negara Brunei Darussalam, malahan juga di seluruh dunia.

Umat Islam yang berjumlah 1.5 bilion dari 7 bilion penduduk dunia itu, masih saja kelihatan mengalami beberapa tengkarah dan keadaan tidak menentu. Mereka dicengkam oleh api-api peperangan dan kekacauan-kekacauan berdarah serta lain-lain, termasuk krisis ekonomi dan hutang yang teruk.

Mengapakah perkara yang seperti ini harus berlaku?

Selaku manusia bertuhan, kita tidak boleh lari dari melihat perkara ini sebagai ada kaitannya dengan ketentuan Allah Taala jua. Kerana tidak akan dapat bergerak atau berlaku sesuatu itu, melainkan dengan kehendak Allah jua.

Begitulah dari sudut ilmu ugama.

Namun, Allah juga memulangkan ‘buku keras’ kepada manusia sendiri, mengapa kejadian-kejadian yang tidak diingini itu berlaku, seperti maksud firman-Nya dalam Surah Ar- Rum, ayat 41:

“Telah berlaku berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia sendiri …”

Maknanya, semua itu adalah berpunca daripada kita juga. Terdapat kesalahan daripada kita, makanya hukuman Allah pun berlaku untuk menyedarkan kita semula.

Allah adalah Maha Adil kepada semua hamba-Nya. Dia tidak memilih-milih mengikut bulu atau kedudukan. Orang yang patut dihukum akan dihukum-Nya dan orang yang patut dilepaskan akan dilepaskan-Nya daripada hukuman itu.

Bagimanapun, sunnatullah sangatlah menyukai taubat oleh para hamba.

Bertaubat merupakan pendirian orang-orang mulia, pendirian orang-orang salih dan ahli taqwa. Tidakkah Allah Taala itu telah berjanji kepada ahli taqwa untuk melepaskan mereka dari kesempitan dan membukakan pintu-pintu rezeki-Nya dengan luas?

Jadi pada hemat beta, jalan untuk umat Islam keluar dari tengkarah dan pelbagai krisis, satu-satunya, adalah melalui ‘jalan taubat’ ini.

Jika perpecahan itu dianggap satu dosa, maka umat Islam, tidak oleh tidak, mestilah bertaubat (rujuk kepada Allah) dengan bersatu. Begitu juga, kalau maksiat seperti yang kita tahu, menjadi kebencian kepada Allah, maka umat Islam, tidak boleh tidak, mestilah cepat-cepat bertaubat meninggalkan kebencian-Nya itu.

Ini saja ubat mujarab yang ada. Adapun yang lain-lain itu cuma penyokong atau pelengkapnya saja.

Sebab itu, berbalik kepada Brunei, beta masih tidak jemu-jemu untuk menekankan perkara ugama supaya diambil berat. Kerana ugama itu adalah cahaya, yang akan menerangi jalan kita. Tanpa ugama, semuanya akan jadi kelam dan binasa.

Sesebuah masyarakat atau negara, bagaimanapun ia kelihatan hebat pada zahir, jika ugama tidak turut menjiwainya, maka masyarakat atau negara seperti itu, sebenarnya, bukanlah ia hebat tetapi bermasalah.

Kita mengharapkan negara kita benar-benar menjadi bumi yang sentosa, yang dipeliharakan oleh Allah serta mendapat perlindungan-Nya dari sebarang kemelut dan masalah.

Maka untuk itu, kita kenalah memenuhi segala prasyarat, selaku pewaris dan pemilik, iaitu menjadi hamba yang benar-benar bersyukur, yang melakukan amal taqwa untuk selama-lamanya.

Insya-Allah, dengan cara ini, nikmat akan berkekalan dan bahkan akan ditambah lagi oleh Allah dengan berlipat-lipat ganda.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan amat sukacita dan tulus hati mengucapkan Selamat Menyambut dan Memasuki Tahun Baru Hijrah 1431. Semoga sepanjang menjalaninya, kita akan beroleh kebahagiaan serta hidayat daripada Allah Subhanahu Wataala. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room, Information Department


------

Intisari Titah (disusun oleh Dr Muhd Hadi Muhd Melayong, Pengarah Penerangan)

* Tahun baru Hijrah 1431 diharap akan membawa keberkatan kepada negara dan bangsa.

* Kehadirannya juga akan menyuntik kesedaran baru umat Islam di bidang 'pembinaan diri' bukan saja di Negara Brunei Darussalam juga di seluruh dunia.

* Bertaubat merupakan pendirian orang-orang mulia, orang-orang soleh dan ahli takwa.

* Umat Islam mesti bertaubat bagi keluar dari tengkarah dan pelbagai krisis.

* Perkara agama mesti diambil berat kerananya adalah cahaya.

* Tanpa agama semuanya akan menjadi kelam dan binasa.

* Kita berharap Brunei menjadi bumi yang sentosa yang dipelihara Allah serta mendapat perlindungan-Nya dari sebarang kemelut dan masalah.

* Sebuah negara akan menjadi hebat jika kita benar-benar menjiwai agama.

Source: Pelita Brunei, 19 Disember 2009, bil 101, p1

Tuesday, December 30, 2008

Titah KDYMM sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1430

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Tahun Baru Hijrah 1430 pada 1hb Muharram 1430 / 28hb Disember 2008

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

SAMBUTAN TAHUN BARU HIJRAH 1430

PADA

1 MUHARRAM 1430/28 DISEMBER 2008

Image (c) Infofoto 2008


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihie Nasta'eenu 'Ala Umuriddunya Waddien, Wassalatu Wassalamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa'ala Alihie Wasahbihie Ajma'een. Waba'du.

Marilah kita sama-sama merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana telah meminjamkan kita umur, sehingga dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1430 ini.

Awal kalam untuk mengalu-alukannya ialah dengan doa: Semoga pada tahun ini kehidupan kita penuh dengan keberkatan di dalam semua lapangan.

Semoga sekalian rakyat dan penduduk beroleh kebahagiaan, di bawah 'inayah dan perlindungan Allah Ta'ala.

Negara pula tetap berkeadaan aman, makmur lagi selamat, tiada sebarang kemelut dan ketakutan di dalamnya.

Semoga Tahun 1430 Hijrah menjadi wadah untuk kita membangun: Pembangunan fizikal dan rohani yang diredai oleh Allah.

Kita membangun untuk kemakmuran, dan dalam masa yang sama juga, kita membina keyakinan diri untuk menjadi hamba yang taat dan rajin beribadat.

Kemakmuran dicapai dengan usaha, dengan menggunakan sumber alam kurnia Allah Ta'ala. Daripada sumber alam ini, kita memperolehi minyak dan gas, dan daripadanya juga kita mendapat makanan.

Beta berharap, pada tahum ini, Tahun Hijrah 1430, kita wajar bergerak lebih pantas untuk mencapai objektif negara, seperti di dalam bidang pertanian, kita perlu meningkat ke tahap peratus 'sara diri' yang lebih tinggi daripada yang ada masa ini, sejajar dengan pertumbuhan dan keperluan.

Kita juga akan terus bergerak untuk meningkatkan taraf hidup, sesuai dengan matlamat mencapai tahap kemiskinan sifar.

Dari sudut agama, manakala terdapat keadaan yang menggalakkan, maka kemiskinan di kalangan umat Islam tidaklah sukar untuk diatasi.

Pada hari ini kita bercakap mengenai hijrah, dan sekiranya umat Islam berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan, maka bermakna inilah hijrah yang paling bersejarah untuk mereka.

Orang Islam mestilah lurus dalam pegangannya, untuk mendapatkan natijah terbaik dalam kehidupan.

Jika pegangan tidak lurus, walaupun niat baik, kita tidak mungkin, umtuk menghasilkan sebarang natijah yang terbaik itu.

Begitulah yang beta harapkan, terutama daripada pemimpin-pemimpin di semua agensi kerajaan, kerana mereka adalah jurumudi bagi membawa kapal-kapal ke pangkalan yang tepat.

Sesuai dengan semangat hijrah, semua orang, terutama para pemimpin dan pembantu-pembantu mereka, perlulah lebih peka dengan perkembangan semasa, sama ada yang bersangkutan dengan tugas harian masing-masing mahupun yang lebih besar daripadanya.

Jika ada perkara yang perlu ditangani dengan segera, mengapakah tidak ditangani? Begitu juga, jika ada peluang untuk membuat perubahan, mengapakah tidak dibuat, padahal jika dibuat, ia boleh mendatangkan banyak kebaikan.

Inilah caranya kita melayani Tahun Baru. Ia bukan saja untuk menanam azam, tetapi yang lebih penting melaksanakan azam. Jika pada tahun lalu kita melihat kerosakan, pada tahun ini, Tahun Baru, kita mesti menyaksikan pembaikan.

Adalah tidak wajar melambat-lambatkan perubahan, walau perubahan itu sangat perlu untuk dilakukan.

Kerugian bukan saja dialami oleh siapa yang menahan-nahan perubahan, malahan juga oleh orang lain yang memang berhak untuk menerima perubahan itu.

Lebih-lebih lagi jika perubahan itu bersifat membetulkan kesilapan atau kesalahan, maka sudah barang tentu ia wajib pula dilakukan dengan sesegera mungkin.

Ini juga boleh dianggap sebagai peka terhadap perkembangan, iaitu tidak membiarkan kesilapan terus berlarutan.

Attitude seperti inilah yang diperlukan oleh masyarakat membangun, di mana kita adalah sebahagian daripadanya.

Di sinilah sepatutnya azam Tahun Baru bermula dan bertolak.

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati azam kita ini, dengan menjadikannya kenyataan. Amin.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Menyambut dan Menjalani Tahun Baru Hijrah 1430. Semoga dalam menjalaninya itu, kita semua akan sentiasa mendapat hidayat dan bimbingan Allah bagi memperolehi keredaan-Nya.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room, Information Department