Showing posts with label konvo. Show all posts
Showing posts with label konvo. Show all posts

Saturday, October 23, 2010

Titah KDYMM di Majlis Konvokesyen UBD 2010

Image (c) Infofoto 2010


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Konvokesyen Ke-22 Universiti Brunei Darussalam Bagi Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi bertempat di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam pada 30 September 2010.





Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh




Bismillahir Rahmanir Rahim




Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.




Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Ke-22 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.




Beta mula-mula sekali ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada para graduan dan penerima sijil di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing.




Beta berharap, semua para graduan akan dapat menyumbangkan ilmu mereka dapat kepada pembangunan negara. Mereka perlu turut menghadapi apa jua cabaran, sama ada di tahap nasional mahupun global.




Tahun 2010, adalah merupakan tahun penuh bermakna, kerana pada tahun ini UBD akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Beta gembira mengetahui, bahawa pencapaian graduan UBD bukan saja dalam bidang akademik, malahan juga dalam bidang kokurikulum. Ini dapat dilihat pada penglibatan para pelajar dan graduan ketika mewakili Negara Brunei Darussalam di dalam pelbagai pertandingan seperti sukan, pidato, mencipta robot dan tilawah Al-Qur'an di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penglibatan ini penting untuk melahirkan insan yang holistik.




Sejak penubuhannya, banyak perkembangan telah dicapai, terutama berkaitan dengan sumber tenaga manusia, lanskap pengajian, peningkatan tahap penyelidikan dan pertumbuhan infrastruktur. Sehubungan dengan kematangan usia UBD, ia sudah dapat dilihat menjadi universiti pilihan.




Satu titik perkembangan yang membanggakan, kerajaan beta telah memperkenankan satu skim biasiswa kompetitif yang baru, yang dipanggil Graduate Research Scholarship Scheme untuk membolehkan UBD menarik graduan tempatan dan luar negeri bagi mengikuti program lepasan ijazah mereka di UBD.




Kita mengambil kira, kecemerlangan sesebuah universiti itu perlu memenuhi piawaian antarabangsa. Kalau UBD ingin dilihat sebagi sebuah universiti bertaraf dunia, maka kualiti penyelidikan, penerbitan, pengajian serta pengajarannya mestilah setaraf dengan apa yang dihasilkan oleh universiti-universiti terkemuka di dunia.




Penyelidikan di UBD masih memerlukan peningkatan dan perluasan. Beta difahamkan, UBD sedang melangka ke arah ini, langkah-langkah sedang diambil untuk meningkatkan mutu penyelidikannya. UBD pada setakat ini telah berjaya membuat kolaborasi dengan IBM, iaitu salah sebuah syarikat antarabangsa yang terkemuka di dunia untuk menubuhkan Pusat UBD-IBM bagi meningkatkan lagi mutu penyelidikan di UBD. Beta berharap, supaya pusat ini juga akan turut menarik minat agensi kerajaan dan swasta untuk bekerjasama bagi menghasilkan penyelidikan yang cemerlang.




Menyebut tentang pengajian di UBD, semenjak penubuhannya sehingga sekarang, pengajian dan pembelajaran Islam turut menjadi inti dan teras di dalam struktur organisasi dan program-programnya. Beta mengambil maklum, bahawa tahun ini, adalah merupakan penganugerahan ijazah terakhir bagi graduan dari Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien. Namun, penganugerahan terakhir ini bukan bermakna pembelajaran Islam di UBD sudah berakhir. Ia masih saja wujud dan untuk penyesuaian dengan fungsinya, ia beta perkenankan untuk memiliki nama barunya, sebagai : Pusat Pengajian Islam Sultan Omar 'Ali Saifuddien atau Sultan Omar 'Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies di UBD. Ia akan menawarkan program-program lepasan ijazah dan penyelidikan, dengan harapan, ia juga akan turut melahirkan pakar-pakar Islam yang dapat menganalisis isu-isu semasa mengikut perspektif Islam.




Sehingga konvokesyen ke-22 ini, UBD telah berjaya melahirkan seramai lebih kurang 14,000 graduan. Ini adalah satu jumlah yang besar nisbah kepada penduduk Negara Brunei Darussalam. UBD akan terus bergerak ke hadapan demi mencapai visinya sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa.




Beta sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan dan penerima sijil pada hari ini dan semoga maju jaya hendaknya sampai berterusan.




Akhirnya, beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam, yang merangkumi Ahli-ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-pegawai Utama, ahli akademik, pegawai-pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga Allah juga yang akan mengurniakan ganjaran-Nya berupa rahmat dan kesejahteraan.




Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.




(Source: PressRoom, Information Department)

Monday, November 3, 2008

Titah Majlis Konvokesyen ke-20 UBD

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Brunei Darussalam pada Hari Khamis, 30 Oktober 2008 / 29 Syawal 1429 bertempat di Dewan Chanselor, Universiti Brunei Darussalam

(c) Infofoto 2008

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

DI MAJLIS
KONVOKESYEN KE-20
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

PADA
HARI KHAMIS, 30 OKTOBER 2008/29 SYAWAL 1429

BERTEMPAT

DI DEWAN CANSELOR
UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen, Wabihee Nasta’inu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Aj’maeen, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat dan ‘inayah-Nya jua kita semua dapat berkumpul pada pagi ini di Majlis Konvokesyen Ke-20 Universiti Brunei Darussalam. Pada kesempatan ini, beta dengan tulus ikhlas mengucapkan tahniah kepada para graduan dan penerima-penerima sijil di atas usaha gigih mereka sehingga berjaya memperolehi kejayaan masing-masing.

Lanskap sektor pengajian tinggi negara telah melalui pelbagai perkembangan dan perubahan, di mana kini, negara telah mempunyai tiga buah universiti dan sebuah kolej universiti. Dengan kedudukan ini, rakyat dan penduduk telah mempunyai lebih banyak peluang untuk memperolehi ilmu di peringkat yang lebih tinggi. Langkah ini adalah sejajar dengan Wawasan Brunei 2035 yang menjadikan kualiti sebagai teras utamanya.

Sebagai pusat pengajian premier, Universiti Brunei Darussalam perlu memegang peranan selaku universiti pelopor di kalangan institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dengan penampilan keupayaan bersaing yang lebih tinggi serta saling melengkapi.

Beta dalam perkara ini, amatlah ghairah untuk melihat UBD mengambil langkah-langkah berpatutan ke arah memperkukuhkan lagi keupayaannya, supaya membolehkannya bergerak, sejajar dengan perancangan strategiknya.

Banyak usaha boleh dibuat untuk mencapai perkara ini, termasuklah mewajarkan struktur organisasi UBD berkeadaan lebih mantap mengikut keperluan.

Beta sukacita menyarankan supaya UBD menawarkan program-program yang lebih inovatif, pelbagai disiplin dan ‘broad-based’, di samping menjadikan bidang penyelidikan dan pengkajian yang sedia ada lebih berfokus, di mana hasilnya kelak boleh menyumbang untuk menyelesaikan isu-isu yang berkepentingan dengan negara.

Kerjasama rapat dengan jentera-jentera kerajaan beta mahupun pihak swasta, juga sangat elok diteruskan, malah mustahak dikembangluaskan.

Beta amatlah gembira apabila mengetahui bahawa kepakaran-kepakaran yang terdapat di UBD telah dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Ianya meliputi hasil usaha penyelidikan dan pengkajian di bidang biodiversiti, keselamatan pemakanan dan tenaga. Beta percaya, aktiviti-aktiviti ini boleh diperluaskan lagi skopnya.

Kekuatan utama UBD turut terletak pada kewibawaan dan kaliber pegawai-pegawai serta ahli-ahli akademiknya. Maka untuk itu, wajarlah bagi UBD memastikan yang mereka itu adalah benar-benar berkelayakan serta prominent dalam bidang masing-masing. UBD perlu memikirkan tatacara atau menyediakan pakej-pakej yang bersesuaian untuk dijadikan penggalak atau tarikan agar pakar-pakar atau ahli-ahli akademik itu benar-benar mahu terlibat memilih untuk berkhidmat di UBD.

Beta yakin, dengan adanya penerbitan yang bermutu dan bertaraf antarabangsa serta pemilikan pakar-pakar yang prominent di kalangan ahli-ahli akademiknya, maka imej UBD, baru akan menyerlah serta lebih meyakinkan pihak-pihak antarabangsa selaku sebuah institusi pengajian tinggi pilihan pertama (a first choice university).

Sebelum ini beta pernah menyebut mengenai usaha kerajaan beta untuk terus komited membisaikan lagi kemudahan-kemudahan pendidikan kita termasuk melipatgandakan usaha mempertingkatkan persekitaran pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan riadah ke tahap yang lebih kondusif, mengikut perkembangan pendidikan UBD sendiri.

Akhirnya, kepada para graduan, sekali lagi beta mengucapkan tahniah dan semoga maju jaya dalam apa juga bidang yang akan diceburi. Beta juga mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada semua warga Universiti Brunei Darussalam yang terdiri daripada Ahli-ahli Majlis dan Senat Universiti, Naib Canselor, pegawai-pegawai utama, pegawai dan kakitangan di atas sumbangan dan perkhidamatan mereka yang tulus ikhlas.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room of Informatiom Department