Showing posts with label Israk Mikraj. Show all posts
Showing posts with label Israk Mikraj. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Titah KDYMM sempena Sambutan Isra' Mi'raj 1432H/2011M

Image (c) Infofoto 2011

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1432H/2011M pada hari Rabu 27 Rejab 1432 bersamaan 29 Jun 2011 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir di majlis menyambut dan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh berkat ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah peristiwa hebat yang tidak ada tolok bandingnya. Ia merupakan mukjizat agung, yang khusus dikurniakan kepada Baginda. Ia mengandungi hikmah tertinggi serta pengajaran yang sungguh berharga.

Gambaran-gambaran yang diperlihatkan oleh Allah di dalam peristiwa ini, meliputi segala karenah manusia untuk menyedarkan mereka sendiri.

Di samping itu, Allah dengan segala kemurahan-Nya, juga telah mengurniakan satu ‘kurnia tertinggi’kepada Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu kewajipan Sembahyang Lima Waktu. Kewajipan ini kemudiannya dinobatkan sebagai tunggak dan tiang ugama kita.

Menyebut tentang sembahyang ini, beta tertarik dengan tema sambutan pada tahun ini, berbunyai: ‘Sembahyang Kunci Kebahagiaan’.

Beta melihat, maksud tema ini adalah luas dan malah mampu untuk mengesan rahsia sembahyang itu sendiri.

Apakah maksud ‘Kunci Kebahagiaan’? Tentu saja sesuatu yang luar biasa, yang mampu membuka segala kebaikan untuk dinikmati.

Bilakah kebahagiaan itu benar-benar menjadi milik kita? Jawabnya: Apabila segala kebajikan dapat diraih dan segala yang keji-keji serta mungkar dapat dihindari.

Semua ini mampu dicapai. Mari kita rujuk Surah Al-‘Ankabut ayat 45, tafsirnya: “Sesungguhnya ibadat sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

Bukankah apabila hidup ini bersih dan bebas daripada perbuatan keji dan mungkar, maka dengan sendirinya, kebahagiaanlah yang akan menjelma, sama ada kebahagiaan di dunia, mahupun lebih-lebih lagi kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, marilah kita pelihara sembahyang, jangan ia dicuaikan, tetapi penuhilah ia sepenuh-penuhnya, selaku tanggungjawab asasi kita kepada Allah, insya-Allah kita sekali-kali tidak akan dihampakan dari memperolehi keberkatan.

Sentiasalah memperbaiki sembahyang dengan cara belajar atau berguru, terutama bagi generasi muda dan kank-kanak.

Tugas mengajar dan memberi bimbingan pula turut dipegang oleh ibu bapa, di samping sedia dimaklumi, ianya menjadi tanggungjawab khusus kepada para asatizah.

Pada tahun ini buat julung-julung kalinya Sambutan Israk dan Mikraj akan diisi dengan Anugerah Asatizah Cemerlang, Asatizah Berjasa dan Anugerah Khas, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada guru-guru ugama yang telah menyumbangkan khidmat cemerlang di dalam kepimpinan dan pengjaran di sekolah ugama, sekolah Arab, Ma’had Islam Brunei, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK) di sekolah-sekolah rendah, menengah, teknikal, vokasional dan intitusi khas.

Beta berharap dengan adanya penganugerahan ini, akan mendorong guru-guru ugama untuk terus mempertingkatkan lagi kualiti kepimpinan dan pengajaran mereka masing-masing.

Syabas dan tahniah kepada mereka yang terpilih pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room, Information DepartmentJustify Full

Friday, July 16, 2010

Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Israk & Mikraj 1431

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1431 Hijrah pada 27 Rejab 1431/10 Julai 2010

Image (c) Infofoto 2010

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin-Nya jua dapatlah kita memperingati lagi peristiwa Israk dan Mikraj Nabi kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Peristiwa Israk dan Mikraj adalah merupakan satu mukjizat agung. Peristiwa-peristiwa yang disaksikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pada malam Israk dan Mikraj itu, merupakan iktibar penting untuk dijadikan panduan dan suluh kehidupan. Namun berapa ramaikah orang yang betul-betul mahu mengambil iktibar tersebut?

Manusia memang ramai yang lalai, sementara iblis pula sentiasa berusaha untuk menggoda dan memperdayakan manusia yang lalai itu.

Ini, akan berlaku sampai Hari Kiamat. Dalam makna, usaha iblis untuk menyesatkan manusia itu, tidaklah ada penghujungnya.

Cara iblis memperdaya dan menyesatkan ialah dengan menghias atau memperelok segala macam maksiat, supaya maksiat itu kelihatan bagus atau cantik kepada manusia.

Namun alhamdulillah, dengan adanya panduan-panduan syarak dan Al-Qur’an, maka dapatlah dibezakan, mana-mana yang bagus adalah daripada Allah, sementara yang keji atau buruk pula adalah daripada syaitan.

Kecuali, bagi siapa yang memang – dengan pilihannya sendiri – mahukan kepada yang buruk-buruk itu, maka orang yang seperti itu, akan tetaplah dia menjadi pengikut syaitan.

Peristiwa Israk dan Mikraj merakamkan pelbagai pengajaran. Di antaranya ialah anugerah Allah berupa ‘ibadat sembahyang’. Anugerah ini adalah paling istimewa, mampu untuk mencegah segala macam kekejian dan kemungkaran, sebagaimana maksud firman Allah di dalam Surah Al-Ankabuut, ayat 45.

Bersabit dengan sembahyang ini, beta sangatlah gembira, kerana pada tahun ini, kita ada mengubah sedikit format acara sambutan, dari Anugerah Takmir Masjid kepada Anugerah Imam dan Bilal pula.

Ini adalah wajar, kerana yang penting dinilai itu ialah ibadat kita, kemudian barulah di mana kita beribadat.

Ibadat mestilah kemas, bagus dan sahih. Adapun Imam dan Bilal, berkewajipan untuk melurus dan mencantikkan ibadat itu.

Khasnya Imam, mempunyai tanggungjawab yang amat berat. Mereka turut menentukan ibadat orang-orang Islam di belakang mereka. Jika mereka betul, maka makmum yang mengikut mereka pun akan turut betul juga. Tetapi sebaliknya, jika mereka salah atau cacat bacaan, maka para makmum akan turut menerima risikonya juga.

Kerana itu, skim anugerah kepada Imam dan Bilal, sewajarnya dianggap penting selaku motivasi, bagi melahirkan imam-imam dan bilal-bilal yang berkualiti.

Beta berharap, dengan skim ini, akan semakin makmurlah masjid, surau dan balai ibadat, serta imam-imam dan bilal-bilal pula akan lebih menyerlah dan dihormati.

Agensi yang berkaitan pula, janganlah diam, hanya menunggu hasil yang diharap-harapkan itu sahaja, tetapi perlu proaktif dengan program-program peningkatan, seperti mengadakan kursus-kursus ulang kaji atau kelas-kelas membaca kitab, atau seminar yang berkaitan dengan pengurusan dan pemakmuran masjid dan lain-lain.

Ini semua dapat dianggap akan meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran para imam dan lain-lain petugas masjid.

Masjid adalah wadah tarbiah dan dakwah. Ia perlu cergas dan berkesan. Istilah ‘takmir masjid’ adalah untuk kita melihatnya sebagai fokus masyarakat bagi melakukan ibadat, dan juga sebagai tempat untuk mendapatkan bimbingan-bimbingan keugamaan.

Kerana itu, masjid tidaklah boleh malap dan lemah. Jika ia malap dan lemah, masyarakat akan tarik diri daripadanya.

Jadi kewajipan kita, kewajipan pentadbir dan pengurus, tidak terkecuali juga para imam sendiri, adalah untuk memastikan, bahawa masjid-masjid kita adalah terus makmur, terus hidup, terus gemerlap dengan ilmu dan dakwah, dan khasnya, fungsi mimbar juga, hendaklah sentiasa berkesan.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Extracted from Press Room of Information Department