Showing posts with label KDYMM. Show all posts
Showing posts with label KDYMM. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Titah KDYMM sempena Sambutan Isra' Mi'raj 1432H/2011M

Image (c) Infofoto 2011

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1432H/2011M pada hari Rabu 27 Rejab 1432 bersamaan 29 Jun 2011 bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat hadir di majlis menyambut dan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang penuh berkat ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah peristiwa hebat yang tidak ada tolok bandingnya. Ia merupakan mukjizat agung, yang khusus dikurniakan kepada Baginda. Ia mengandungi hikmah tertinggi serta pengajaran yang sungguh berharga.

Gambaran-gambaran yang diperlihatkan oleh Allah di dalam peristiwa ini, meliputi segala karenah manusia untuk menyedarkan mereka sendiri.

Di samping itu, Allah dengan segala kemurahan-Nya, juga telah mengurniakan satu ‘kurnia tertinggi’kepada Junjungan Besar kita, Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu kewajipan Sembahyang Lima Waktu. Kewajipan ini kemudiannya dinobatkan sebagai tunggak dan tiang ugama kita.

Menyebut tentang sembahyang ini, beta tertarik dengan tema sambutan pada tahun ini, berbunyai: ‘Sembahyang Kunci Kebahagiaan’.

Beta melihat, maksud tema ini adalah luas dan malah mampu untuk mengesan rahsia sembahyang itu sendiri.

Apakah maksud ‘Kunci Kebahagiaan’? Tentu saja sesuatu yang luar biasa, yang mampu membuka segala kebaikan untuk dinikmati.

Bilakah kebahagiaan itu benar-benar menjadi milik kita? Jawabnya: Apabila segala kebajikan dapat diraih dan segala yang keji-keji serta mungkar dapat dihindari.

Semua ini mampu dicapai. Mari kita rujuk Surah Al-‘Ankabut ayat 45, tafsirnya: “Sesungguhnya ibadat sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.”

Bukankah apabila hidup ini bersih dan bebas daripada perbuatan keji dan mungkar, maka dengan sendirinya, kebahagiaanlah yang akan menjelma, sama ada kebahagiaan di dunia, mahupun lebih-lebih lagi kebahagiaan di akhirat.

Oleh itu, marilah kita pelihara sembahyang, jangan ia dicuaikan, tetapi penuhilah ia sepenuh-penuhnya, selaku tanggungjawab asasi kita kepada Allah, insya-Allah kita sekali-kali tidak akan dihampakan dari memperolehi keberkatan.

Sentiasalah memperbaiki sembahyang dengan cara belajar atau berguru, terutama bagi generasi muda dan kank-kanak.

Tugas mengajar dan memberi bimbingan pula turut dipegang oleh ibu bapa, di samping sedia dimaklumi, ianya menjadi tanggungjawab khusus kepada para asatizah.

Pada tahun ini buat julung-julung kalinya Sambutan Israk dan Mikraj akan diisi dengan Anugerah Asatizah Cemerlang, Asatizah Berjasa dan Anugerah Khas, sebagai penghargaan dan pengiktirafan kepada guru-guru ugama yang telah menyumbangkan khidmat cemerlang di dalam kepimpinan dan pengjaran di sekolah ugama, sekolah Arab, Ma’had Islam Brunei, Institut Tahfiz Al-Qur’an Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam (IRK) di sekolah-sekolah rendah, menengah, teknikal, vokasional dan intitusi khas.

Beta berharap dengan adanya penganugerahan ini, akan mendorong guru-guru ugama untuk terus mempertingkatkan lagi kualiti kepimpinan dan pengajaran mereka masing-masing.

Syabas dan tahniah kepada mereka yang terpilih pada tahun ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room, Information DepartmentJustify Full

Thursday, June 2, 2011

Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-50




Photo (c) Information Department, Prime Minister's Office

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Ke-50 Tahun pada Hari Selasa 27hb Jamadilakhir 1432 / 31hb Mei 2011


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, Beta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala diatas limpah rahmat-Nya mengurniakan kita keamanan dan kesejahteraan.

Setiap negara berkewajipan untuk menjaga keamanan, kerana ia adalah segala-galanya.

Di antara asas keamanan dan keselamatan itu, turut di pegang oleh pihak-pihak yang berkenaan dengannya, terutama oleh Angkatan Bersenjata kita. Perlu diketahui, bahawa Pasukan Askar Melayu Diraja Brunei telahpun ditubuhkan pada 31 haribulan Mei 1961.

Lima puluh tahun penubuhannya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei telah melalui pelbagai pengalaman dan perkembangan. Ia tidak syak lagi, merupakan tonggak keamanan yang sebenar-benarnya.

Oleh itu, pada kesempatan ini, Beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga tentera, sama ada mereka masih berkhidmat ataupun tidak, diatas segala sumbangan mereka kepada negara.

Segala khidmat dan sumbangan ini perlulah berterusan, bukan sahaja untuk kelangsungan keamanan itu sendiri, malahan juga untuk pembangunan ekonomi. Kerana pembangunan dan ekonomi yang mantap tidak mungkin tercapai, kecuali dengan adanya keamanan.

Lihat sahajalah setengah negara di dunia, yang tidak dapat membangun, atau lambat membangun, kerana menghadapi gangguan-gangguan keamanan. Mereka lebih fokus keapda menangani suasana daripada usaha-usaha ekonomi dan pembangunan.

Begitulah besarnya sumbangan keamanan itu.

Oleh itu, pastikan pertahanan kita sentiasa siapsiaga, dan pastikan juga, keupayaan sentias “relevan” dengan cabaran-cabarab semasa.

Semua persediaan mesti diatur dan dirancang untuk kepentingan negara. Kepentingan ini mencakup soal-soal perhubungan antarabangsa, keselamatan sejagat, perdagangan, alam-sekitar dan seumpamanya.

Ia juga menyangkut proses kerjasama serantau mahupun antarabangsa.

Maka untuk itu, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, perlulah membina kerjasama dua-hala dan pelbagai hala dengan negara-negara lain dalam konsep Diplomasi Pertahanan.

Kerjasama serantau dalam rangka ASEAN, dan antara ASEAN dengan rakan dialog, adalah penting bagi Brunei untuk aktif, terutama apabila Negara menjadi pengerusi kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN dan ADMM-Plus pada tahun 2013.

Begitu juga, selaras dengan keupayaan kita, penglibatan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam misi-misi pengaman luar negara, seperti penyertaan Negara dalam misi IMT di Filipina dan UNIFIL di Lubnan, telah banyak memberi pendedahan terhadap keselamatan antarabangsa serta cabarannya.

Dalam bidang pertahanan, kita alhamdulillah telah agak banyak juga membuat perkembangan. Misalnya melalui usaha-usaha terkini, kita juga mampu memaksimakan kesan tindak balas dari keupayaan tentera yang ada dengan kaedah operasi bersepadu atau jointery dan joint planning operation. Matlamat ini dicapai, dengan memanfaatkan rangkain C41 dan tertubuhnya Markas Angkatan Bersama.

Begitu juga melalui peranan dan khidmat yang diberikan oleh unit-unit khusus, seperti Rejimen Pasukan Khas dan Unit CBRE atau Chemical, Biological, Radiological and Explosive yang mempunyai keupayaan dalam misi-misi tertentu.
Aspek capacity building juga turut memainkan peranannya dalam mempercekapkan lagi proses membuat keputusan dan
meningkatkan kualiti ketenteraan.

Beta juga telah memperkenankan penubuhan beberapa institusi selaku pelengkap matlamat. Ia termasuk Jabatanarah Perkembangan Keupayaan Tentera, Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Sains dan Teknologi, dan Akademi Pertahanan.

Namun, berikutan dengan perkembangan ini, kita juga adalah diperlukan untuk mengisi kekurangan-kekurangan tenaga yang ada.

Untuk mendapatkan sumber tenaga manusia, pengambilan agresif adalah diperlukan, disamping, turut juga penting ialah kesediaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi menawarkan struktur kerjaya yang menarik serta jaminan masa depan yang baik.

Maka ke arah itu, Beta dengan sukacita memperkenankan pembaharuan ke atas Syarat-Syarat Perkhidmatan dan Struktur Perkembangan Kerjaya bagi semua peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Dan Beta juga sukacita memperkenankan perubahan ke atas pakej remunerasi bagi lain-lain peringkat Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Pembaharuan dan perubahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos, 2011.

Beta berharap, perubahan-perubahan ini akan meningkatkan lagi mutu daan kualiti kecemerlangan profession ketenteraan serta juga akan dapat memberikan nilai tambah kepada anggota-anggota.

Sebagai Angkatan Bersenjata yang kecil, kita perlu mengimbangi sebarang kekurangan, dengan penguasaan teknologi dan kekuatan berganda, atau ‘force multiplier’. Matlamat ini hanyalah boleh dicapai dengan menghargai peranan kepimpinan dan kemahiran tenaga kerja.

Selain kepimpinan berwibawa dan profesional, operasi abad kini juga memerlukan inovasi, kreativiti dan kebijaksanaan bagi semua peringkat ‘soldiers’, siapa yang memikul tugas-tugas yang amat mencabar ini.

Sebagai pelengkap, langkah-langkah ‘regimentation’, penguatkuasaan undang-undang tentera dan didikan kerohanian juga adalah perlu.

Beta sangat berhasrat untuk melihat Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei dan Institut Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berkembang serta mampu, untuk mengisi jurang keupayaan yang ada ketika ini.

Khusus dari sudut rohani, Beta difahamkan, penerapan keagamaan yang bersistematik telah dapat dilaksanakan dengan baiknya. Ini, amatlah menggembirakan sekali.

Beta juga berharap, setiap lapisan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan dapat menangkis segala anasir yang tidak diingini untuk kebaikan mereka sendiri dan juga negara. Ingatlah, nikmat keamanan, atau apa juga nikmat, bukanlah kita yang menciptanya sendiri, melainkan daripada Allah jua. Kalau agama-Nya kita pelihara dalam diri kita, dalam masa bertugas atau di luar tugas, maka insya Allah, nikmat itu akan berpanjangan.

Mengambil sukut majlis ini, Beta dengan amat sukacita, mengurniakan Pingat Jubli Emas kepada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang sedang berkhidmat. Ini adalah satu pengiktirafan di atas kecemerlangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selama 50 tahun.

Akhirnya, Beta dengan penuh bangga mengucapkan syabas kepada mereka yang mengambil bahagian dalam perbarisan raksaksa pada pagi ini. Mereka sungguh kelihatan segak dan gagah dengan pakaian kombat yang baru, yang menterjemahkan satu pembaharuan dalam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu ‘Alaikim Warahmatullahi Wabarakatuh.


Source: Press Room, Information Department