Showing posts with label civil servant. Show all posts
Showing posts with label civil servant. Show all posts

Monday, April 19, 2010

Reminder for Civil Servants

Extracted from website of Jabatan Perkhidmatan awam (JPA):


KELAKUAN DAN TATATERTIB

Setiap warga perkhidmatan akan bertanggungjawab mentaati semua peraturan dan arah yang dikuatkuasakan dari semasa ke semasa. Peraturan dan arahan ini dihasratkan untuk mewujudkan warga perkhidmatan awam yang bersih, jujur, cekap dan amanah selaras dengan rukun akhlak dan etika kerja perkhidmatan awam.

Antara peraturan dan arahan termasuk:

  • Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib), Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83);
  • Peraturan-Peraturan Kewangan 1983;
  • Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri;
  • Surat Keliling Kementerian Kewangan; dan,
  • Surat Pemberitahuan Jabatan Perkhidmatan Awam.

KEHADIRAN BEKERJA
(Peraturan 4, 6 dan 8)
Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib),
Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83)
Bentuk Sektor Swasta

Setiap warga perkhidmatan awam:

  • Dikehendaki bekerja setiap hari, kecuali pada hari-hari kelepasan am dan awam serta semasa bercuti;
  • Bertanggungjawab mematuhi peraturan waktu bekerja iaitu minimum 7 ½ jam sehari;

Waktu Bekerja
7.45 pagi – 12.15 tengah hari
1.30 petang – 4.30 petang

(Setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu, kecuali dengan khas ditentukan)

Warga perkhidmatan awam juga:

  • Dikehendaki berada di pejabat / tempat bekerja setiap masa;
  • Dikehendaki mendapat kebenaran ketua jabatan atau pegawai atasan, jika meninggalkan pejabat / tempat bekerja;
  • Dimestikan mencatat waktu keluar dan masuk pejabat / tempat bekerja;


Warga perkhidmatan awam akan diambil tindakan tatatertib, jika:

  • Tidak mematuhi peraturan waktu bekerja;
  • Meninggalkan pejabat / waktu bekerja semasa waktu bekerja tanpa kebenaran ketua jabatan atau pegawai atasan; dan
  • Tidak hadir bekerja tanpa kebenaran bertulis daripada ketua jabatan.

PERMOHONAN KELUAR NEGERI
(Peraturan 9)
Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib),
Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (Penggal 83)

Setiap warga perkhidmatan awam:

  • Dimestikan berada dalam negeri setiap masa.
  • Dimestikan menghadapkan permohonan secara bertulis kepada ketua jabatan masing-masing, jika berhajat untuk keluar negeri.
  • Dimestikan mendapat kebenaran permohonan sebelum keluar negeri.
  • Tidak dibenarkan keluar negeri semasa:

Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W.
Sambutan Hari Keputeraan KDYMM
Sambutan Hari kebangsaan
Majlis-Majlis Adat Istiadat Beraja
(Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan 11/1999)

Warga perkhidmatan awam yang keluar negeri tanpa kebenaran bertulis daripada ketua jabatan adalah menyalahi peraturan dan boleh diambil tindakan tatatertib.


PENYALAHGUNAAN DADAH

Setiap warga perkhidmatan awam ditegah keras melibatkan diri dalam penyalahgunaan dadah setiap masa termasuk pengedaran, penjualan, pemprosesan atau sebarang aktiviti yang menghasilkan dadah.

Pusat Pemulihan Al-Islah dan Biro Kawalan Narkotik adalah agensi Kerajaan yang boleh dihubungi bagi mendapatkan khidmat nasihat.

Warga perkhidmatan awam yang dilaporkan terlibat akan diambil tindakan tatatertib.


KEWANGAN
(Peraturan-Peraturan Kewangan 1983)

Setiap warga perkhidmatan awam yang bertugas secara langsung atau tidak dengan perkhidmatan awam dan pengurusan kewangan adalah dikehendaki:

  • Mengetahui dan memahami peraturan dan prosedur kewangan yang ditetapkan dari semasa ke semasa;

  • Melaksanakan tugas dan kewajipan dengan penuh jujur, amanah, cekap, titih dan lutanan.

Warga perkhidmatan awam yang melanggar peraturan dan prosedur yang ditetapkan akan diambil tindakan tatatertib.


KERAHSIAAN MAKLUMAT KERAJAAN
(Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri Bilangan 2/2000 – Akta Rahsia Rasmi Bab 5 Penggal 153)

Setiap warga perkhidmatan awam yang bertugas secara langsung atau tidak dengan perkhidmatan dan pengurusan pejabat adalah dikehendaki:

  • Mengetahui, memahami dan mematuhi setiap masa Akta Rahsia Rahmi seperti yang ditandatangani semasa memulakan perkhidmatan dengan Kerajaan;

  • Menjaga kerahsiaan dokumen Kerajaan setiap masa termasuk setelah meninggalkan perkhidmatan Kerajaan.


JENAYAH DAN KESALAHAN SYARIAH

Setiap warga perkhidmatan awam perlu mengamalkan rukun akhlak dan etika kerja yang mulia, serta menjadi role model kepada warga perkhidmatan awam yang lain.

Warga perkhidmatan awam perlu menghindar diri daripada terlibat dengan kes-kes seperti:

  • Judi;

  • Curi;

  • Khalwat;

  • Zina;

  • Persetubuhan haram;

  • Makan di khalayak ramai pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Warga perkhidmatan awam yang terlibat dalam kes-kes jenayah dan / atau kesalahan syariah, jika sabit kesalahan, akan dihukum di mahkamah dan sekali gus diambil tindakan tatatertib.


TINDAKAN TATATERTIB

Tindakan tatatertib yang dikenakan kepada warga perkhidmatan awam menurut kesalahan:

  • Diberi teguran (amaran lisan)

  • Diberi amaran bertulis

  • Digantung kerja

  • Ditahan kerja

  • Ditahan kenaikan gaji

  • Diturunkan pangkat

  • Dipersarakan

  • Ditamatkan perkhidmatan

  • Dibuang kerja

Thursday, April 16, 2009

Civil servants are not to join any political parties and their activities

Warga Perkhidmatan Awam diingatkan untuk tidak mengambil sebarang bahagian dalam apajua kegiatan parti-parti politik.

Jabatan Perdana Menteri melalui memorandum bilangan (17)JPM/SK/2005 bertarikh 15 Zulkaedah 1426H bersamaan 17 Disember 2006 mengingatkan bahawa pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam apajua kegiatan yang dijalankan oleh parti-parti politik. Perkara ini adalah seperti yang pernah diberi peringatan melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 14/1985 bertarikh 28 September 1985, iaitu selaras dengan perkara 5 dan 11 Penggal B, Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib) 1961.

Petikan dari Surat Keliling JPM 14/1985

“Pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam termasuk pasukan Polis Di-Raja Brunei, Angkatan Bersenjata Di-Raja Brunai dan Ahli-ahli berpakaian seragam dalam cawangan Kerajaan Baginda adalah diingatkan bahawa sejak 1956, penglibatan dalam mana-mana parti atau pertubuhan politik adalah tidak dibenarkan. Adalah penting bagi pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan dalam mana-mana negara untuk tidak melibatkan diri dalam parti atau pergerakan politik. Keperluan ini adalah selaras dengan perkara 5 dan 11 Penggal B, Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib) 1961 yang berbunyi:-


Perkara 5

Keseluruhan masa seseorang pegawai akan tertakluk di bawah kawalan
Kerajaan.


Perkara 11

(a) Tidaklah boleh seorang pegawai itu berkelakuan dengan secara yang boleh mendatangkan kepentingan-kepentingan dirinya itu bersetentangan dengan kewajipan-kewajipan awamnya atau dengan secara yang dia mengetahui atau boleh dengan sepatutnya dijangka mengetahui yang kelakuannya itu mungkin menyebabkan timbul syak wasangka yang berpatutan di dalam hati orang ramai yang dia-


(i) Telah membiarkan kepentingan-kepentingan dirinya sendiri itu bersetentangan dengan kewajipan-kewajipan awamnya dan dengan itu mensesiakan faedahnya sebagi seorang pegawai Kerajaan; atau


(ii) Telah menggunakan kedudukan di dalam perkhidmatannya untuk faedah dirinya sendiri.

(b) Sebarang perbuatan yang melanggar Peraturan ini akan menyebabkan pegawai itu boleh dikenakan perbicaraan-perbicaraan tatatertib.


Oleh yang demikian adalah penting bagi pihak-pihak yang berkenaan untuk diingatkan tentang peraturan-peraturan seperti berikut:-

Pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan tidak boleh mengadakan sesuatu perjumpaan atau mesyuarat yang melibatkan orang ramai berhubung dengan mana-mana tindakan Kerajaan, atau mengambil bahagian dalam sesuatu perjumpaan atau mesyuarat yang sedemikian bagi faedah-faedah yang sama.


Pegawai-pegawai atau kakitangan Kerajaan tidak boleh menjadi sebagai seorang pembahagi buku-buku mengenai politik atau menandatangani atau mendapatkan tanda-tanda tangan untuk mana-mana rayuan orang ramai berkenaan dengan perbuatan atau cadangan-cadangan Kerajaan.


Pegawai-pegawai atau kakitangan Kerajaan adalah ditegah menjadi ahli sebarang parti politik atau jawatankuasa bagi mana-mana pertubuhan politik atau memegang mana-mana jawatan dalam pertubuhan iaitu sama ada bertindak selaku wakil atau ahli politik bagi pertubuhan sedemikian itu secara langsung atau tidak, berucap dalam mana-mana perjumpaan atau mesyuarat yang berhubung dengan pertubuhan sedemikian, dan mengambil bahagian bagi melanjutkan tujuan pertubuhan sedemikian.


Pengertian “Penglibatan” adalah meliputi menjadi ahli biasa, bertugas dalam jawatankuasa kecil daripada sebarang parti atau persatuan politik, daripada mengambil bahagian dalam perarakan-perarakan, perjumpaan-perjumpaan dan pertunjukan-pertunjukan perasaan daripada membuat syarahan-syarahan, melaksanakan pemasukan ahli-ahli atau menyelenggarakan pemungutan yuran-yuran atau derma-derma, dan daripada menolong dalam sebarang jalan, secara rahasia atau terang dalam melaksanakan lebih lagi tujuan dan maksud-maksud daripada sebarang persatuan tersebut.


Pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan dengan ini diberitahu bahawa pasa masa akan datang tindakan tatatertib (Disciplinary Action) akan diambil keatas mana-mana pegawai dan kakitangan Kerajaan yang melanggar surat keliling ini. Tidak mematuhi peraturan ini dengan alasan tidak mengatahui atau memahami isi kandungan surat keliling ini tidak akan diterima sebagai alasan pelanggarannya”.


extracted from
JPA's website