Thursday, April 16, 2009

Civil servants are not to join any political parties and their activities

Warga Perkhidmatan Awam diingatkan untuk tidak mengambil sebarang bahagian dalam apajua kegiatan parti-parti politik.

Jabatan Perdana Menteri melalui memorandum bilangan (17)JPM/SK/2005 bertarikh 15 Zulkaedah 1426H bersamaan 17 Disember 2006 mengingatkan bahawa pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam apajua kegiatan yang dijalankan oleh parti-parti politik. Perkara ini adalah seperti yang pernah diberi peringatan melalui Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 14/1985 bertarikh 28 September 1985, iaitu selaras dengan perkara 5 dan 11 Penggal B, Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib) 1961.

Petikan dari Surat Keliling JPM 14/1985

“Pegawai-pegawai dan kakitangan dalam perkhidmatan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam termasuk pasukan Polis Di-Raja Brunei, Angkatan Bersenjata Di-Raja Brunai dan Ahli-ahli berpakaian seragam dalam cawangan Kerajaan Baginda adalah diingatkan bahawa sejak 1956, penglibatan dalam mana-mana parti atau pertubuhan politik adalah tidak dibenarkan. Adalah penting bagi pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan dalam mana-mana negara untuk tidak melibatkan diri dalam parti atau pergerakan politik. Keperluan ini adalah selaras dengan perkara 5 dan 11 Penggal B, Peraturan-Peraturan Pegawai-Pegawai Kerajaan (Kelakuan dan Tatatertib) 1961 yang berbunyi:-


Perkara 5

Keseluruhan masa seseorang pegawai akan tertakluk di bawah kawalan
Kerajaan.


Perkara 11

(a) Tidaklah boleh seorang pegawai itu berkelakuan dengan secara yang boleh mendatangkan kepentingan-kepentingan dirinya itu bersetentangan dengan kewajipan-kewajipan awamnya atau dengan secara yang dia mengetahui atau boleh dengan sepatutnya dijangka mengetahui yang kelakuannya itu mungkin menyebabkan timbul syak wasangka yang berpatutan di dalam hati orang ramai yang dia-


(i) Telah membiarkan kepentingan-kepentingan dirinya sendiri itu bersetentangan dengan kewajipan-kewajipan awamnya dan dengan itu mensesiakan faedahnya sebagi seorang pegawai Kerajaan; atau


(ii) Telah menggunakan kedudukan di dalam perkhidmatannya untuk faedah dirinya sendiri.

(b) Sebarang perbuatan yang melanggar Peraturan ini akan menyebabkan pegawai itu boleh dikenakan perbicaraan-perbicaraan tatatertib.


Oleh yang demikian adalah penting bagi pihak-pihak yang berkenaan untuk diingatkan tentang peraturan-peraturan seperti berikut:-

Pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan tidak boleh mengadakan sesuatu perjumpaan atau mesyuarat yang melibatkan orang ramai berhubung dengan mana-mana tindakan Kerajaan, atau mengambil bahagian dalam sesuatu perjumpaan atau mesyuarat yang sedemikian bagi faedah-faedah yang sama.


Pegawai-pegawai atau kakitangan Kerajaan tidak boleh menjadi sebagai seorang pembahagi buku-buku mengenai politik atau menandatangani atau mendapatkan tanda-tanda tangan untuk mana-mana rayuan orang ramai berkenaan dengan perbuatan atau cadangan-cadangan Kerajaan.


Pegawai-pegawai atau kakitangan Kerajaan adalah ditegah menjadi ahli sebarang parti politik atau jawatankuasa bagi mana-mana pertubuhan politik atau memegang mana-mana jawatan dalam pertubuhan iaitu sama ada bertindak selaku wakil atau ahli politik bagi pertubuhan sedemikian itu secara langsung atau tidak, berucap dalam mana-mana perjumpaan atau mesyuarat yang berhubung dengan pertubuhan sedemikian, dan mengambil bahagian bagi melanjutkan tujuan pertubuhan sedemikian.


Pengertian “Penglibatan” adalah meliputi menjadi ahli biasa, bertugas dalam jawatankuasa kecil daripada sebarang parti atau persatuan politik, daripada mengambil bahagian dalam perarakan-perarakan, perjumpaan-perjumpaan dan pertunjukan-pertunjukan perasaan daripada membuat syarahan-syarahan, melaksanakan pemasukan ahli-ahli atau menyelenggarakan pemungutan yuran-yuran atau derma-derma, dan daripada menolong dalam sebarang jalan, secara rahasia atau terang dalam melaksanakan lebih lagi tujuan dan maksud-maksud daripada sebarang persatuan tersebut.


Pegawai-pegawai dan kakitangan Kerajaan dengan ini diberitahu bahawa pasa masa akan datang tindakan tatatertib (Disciplinary Action) akan diambil keatas mana-mana pegawai dan kakitangan Kerajaan yang melanggar surat keliling ini. Tidak mematuhi peraturan ini dengan alasan tidak mengatahui atau memahami isi kandungan surat keliling ini tidak akan diterima sebagai alasan pelanggarannya”.


extracted from
JPA's website

No comments: