Showing posts with label new year. Show all posts
Showing posts with label new year. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Titah KDYMM sempena Awal Tahun Masehi 2011

Image (c) Infofoto 2011


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Awal Tahun Baru Masihi 2011


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammad, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


Kita baru saja meninggalkan dekad pertama, kurun kedua puluh satu. Sekarang kita memasuki tahun baru Masihi 2011 yang memulakan dekad kedua bagi kurun ini.


Tahun Masihi 2010 telah melakar untuk kita kejayaan dan cabaran. Usaha bagi mengukuhkan masa depan ekonomi kita, telah menampakkan hasilnya dengan bermulanya pengeluaran methanol untuk eksport. Ini ditambah lagi dengan usaha-usaha meningkatkan penanaman padi yang berterusan, di samping langkah mempromosi dan menghasilkan produk-produk makanan di bawah jenama ‘Brunei Halal’, juga semakin menggalakkan.

Namun dengan prospek ini, tidaklah akan melalaikan kita dari terus memantapkan langkah-langkah pencegahan dan perlindungan dari impak pelbagai krisis, antaranya krisis kewangan, harga minyak, makanan, kesihatan dan cuaca.

Bagi kepentingan ini, kita juga sentiasa membuat penilaian ke atas dasar-dasar kerajaan, perancangan pembangunan jangka panjang, tatacara untuk memenuhi keperluan orang ramai dan kemudahan pelaburan, demi kesejahteraan dan kestabilan negara.

Menyentuh mengenai kestabilan ini, kita insya-Allah akan memulakan dekad baru dengan penubuhan sebuah organisasi yang sangat penting iaitu Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) pada esok hari, 1 Januari 2011. Autoriti ini akan sentiasa memastikan sektor monetari dan kewangan negara berfungsi dengan stabil dan teratur. Ini termasuklah mengekal dan meneruskan Perjanjian Kesalingbolehtukaran matawang Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, yang dilihat sebagai banyak mendatangkan kemanfaatan kepada kedua-dua buah negara.

Beta juga berharap usaha-usaha akan diteruskan lagi untuk merealisasikan visi kita menjadikan negara ini sebagai salah sebuah pusat kewangan Islam terkemuka di dunia.

Dalam bidang kesihatan, kerajaan beta, selain meningkatkan kapasiti perkhidmatan perubatan di peringkat pakar, usaha-usaha kesihatan secara intensif juga adalah diambil, melalui pencegahan dan kesedaran.

Ini termasuklah, menguatkan lagi usaha membanteras tabiat merokok yang amat berbahaya itu, melalui pindaan duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau.

Kerajaan beta juga memperkenankan Skim Baru Perkhidmatan Kedoktoran pada 9 Oktober 2010, yang antara lain bertujuan untuk meningkatkan lagi keupayaan kerajaan bagi mendapatkan perkhidmatan doktor-doktor berkualiti tinggi dari dalam dan luar negeri. Bagi anak-anak tempatan pula, skim baru ini diharapkan mampu untuk menyuntik semangat mereka menceburi pelbagai bidang perubatan sehingga ke peringkat kepakaran.


Turut termasuk, ialah usaha bersepadu kerajaan bagi memastikan keselamatan makanan kita bebas dari pencemaran racun dan bahan-bahan yang membahayakan, demi semata-mata untuk kesejahteraan rakyat dan penduduk jua.

Termasuk juga untuk kesejahteraan ini, kerajaan beta telah pun merebiu Peraturan Cuti Beranak, yang baru-baru ini ada beta timbulkan, iaitu sebagai langkah menyelaras keperluan dan kepentingan kesihatan bagi ibu-ibu, sebelum dan selepas mereka itu melahirkan.

Mulai 1 Januari 2011, kerajaan beta akan mula menguatkuasakan peraturan baru, yang diberi nama Peraturan Cuti Beranak 2011, yang pada pokoknya, menaikkan cuti beranak bagi kesemua pegawai dan kakitangan wanita di dalam Perkhidmatan Awam dari 56 hari kepada 105 hari.

Peraturan ini adalah juga dilaratkan kepada pekerja wanita di sektor swasta yang terdiri daripada rakyat dan penduduk tetap sebagai tambahan dan pindaan kepada Perintah Pekerjaan 2009 yang ada pada masa ini.

Di samping kita bersyukur atas segala nikmat yang ada, kita juga perlu berpijak di bumi nyata untuk tidak leka dari bersiap siaga bagi menangani sebarang kesulitan dan cabaran yang tidak diduga.

Beta adalah menghargai serta gembira, dengan sifat keprihatinan rakyat dan penduduk negara ini terhadap pihak-pihak yang kurang bernasib baik, khasnya mereka yang ditimpa musibah-musibah berat.

Beta memuji sifat murah hati dan ringan tangan menghulurkan bantuan-bantuan bersesuaian kepada pihak-pihak negara sahabat yang ditimpa musibah, seperti banjir besar, gempa bumi, tsunami, gunung berapi dan seumpamanya.

Ini semua merupakan nilai-nilai positif yang perlu dikekalkan sehingga bila-bila.

Akhirnya, beta ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peringkat dalam Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta, di atas usaha-usaha ikhlas mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing di sepanjang tahun 2010.

Beta dan kaum kerabat beta juga tidak lupa merakamkan ucapan Selamat Tahun Baru Masihi 2011 kepada seluruh rakyat dan penduduk. Marilah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya berupa kemakmuran dan perlindungan kepada kita semua dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Source: Press Room, Information Department




------------------------




Intisari Titah (Pelita Brunei, bil.2, Edisi Isnin, 3 Januari 2011)




  • Negara Brunei Darussalam melakar banyak kejayaan dan mendepani cabaran 2010


  • Pengeluaran metanol untuk eksport mengukuhkan masa depan ekonomi negara


  • Penanaman padi dipertingkatkan


  • Langkah mempromosikan dan menghasilkan produk-produk makanan di bawah jenama "Brunei Halal" semakin menggalakkan


  • Negara terus mantapkan langkah pencegahan dan perlindungan dari impak pelbagai krisis dunia


  • Dasar-dasar kerajaan, perancangan pembangunan jangka panjang, tatacara memenuhi keperluan orang ramai dan kemudahan pelaburan demi kesejahteraan dan kestabilan negara terus dinilai


  • Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) ditubuhkan pada 1 Januari 2011


  • AMBD pastikan sektor monetari dan kewangan negara berfungsi dengan stabil dan teratur


  • Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang Brunei-Republik Singapura dikekalkan dan diteruskan


  • Negara akan merealisasikan Brunei sebagai pusat kewangan Islam yang setanding dengan pusat-pusat kewangan terkemuka dunia


  • Duti eksais bagi rokok, tembakau dan produk-produk tembakau dinaikkan bagi membanteras tabiat merokok yang amat membahayakan kepada kesihatan


  • Kerajaan perkenalkan skim baru perkhidmatan kedoktoran pada 9 Oktober 2010 bagi mendapatkan perkhidmatan doktor-doktor berkualiti tinggi dari dalam dan luar negara


  • Kerajaan terus berusaha secara bersepadu bagi memastikan keselamatan makanan bebas daripada pencemaran racun dan bahan-bahan membahayakan


  • Kerajaan menguatkuasakan Peraturan Cuti Beranak 2011


  • Pegawai dan kakitangan wanita dalam Perkhidmatan Awam dan swasta menikmati cuti beranak 105 hari


  • Sentiasa bersiap siaga bagi menangani sebarang kesulitan dan cabaran yang tidak diduga


  • Baginda menghargai sifat keprihatinan rakyat dan penduduk terhadap mereka yang ditimpa musibah


  • Baginda memuji sifat murah hati dan ringan tangan menghulurkan bantuan negara-negara sahabat yang ditimpa musibah

Monday, January 4, 2010

Titah KDYMM sempena Sambutan Tahun Baru Masehi 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Tahun Baru Masihi 2010



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Kita memasuki tahun baru Masihi 2010 dengan perasaan gembira dan penuh bersyukur.

Demikian juga, jangan lupa untuk bersyukur, kerana negara berjaya melalui liku-liku tahun 2009 dengan penuh cekal, sekalipun sedikit mengalami kejutan, berupa beberapa kejadian yang jarang-jarang berlaku, seperti banjir dan tanah susur dan kemudian menyusuli pula influenza ‘A’ (H1N1).

Ini semua mempunyai hikmah, selaku isyarat, supaya kita sentiasa bijak dan siap siaga menanganinya.

Di antara cara yang bijak itu ialah menyiapkan diri dengan perancangan-perancangan besar, dan tidak mengapa, kalau perancangan-perancangan itu diasaskan kepada senario kes terburuk (worst-case-scenario), kerana dengan cara itu, persediaan kita akan lebih kemas lagi bagi menghadapi cabaran dan keadaan-keadaan mendatang.

Di sebalik ujian-ujian tadi, kita mungkin menyedari, bahawa beberapa pencapaian telah turut kita raih di sepanjang tahun 2009.

Antaranya kita telah dan sedang mengorak langkah bagi meningkatkan pengeluaran padi tempatan sebagai usaha ke arah jaminan keselamatan makanan atau ‘food security’ di negara ini.

Beta gembira, kerana usaha yang digerakkan oleh kerajaan ini, nampak-nampaknya berjaya menyuntik semangat rakyat untuk sama-sama aktif dalam bidang pertanian. Beta ada mendengar, ramai kini yang suka dipanggil petani, mengusahakan tanah-tanah mereka yang dahulunya hanya terbiar. Ini tidak syak lagi, adalah satu perkembangan yang amat menggalakkan bagi negara.

Di samping itu, sudah terdapat juga dari kalangan anak tempatan yang sedang giat melaksanakan pelbagai usaha dalam industri pemakanan dan malah sudah ada yang mampu tampil menyertai ekspo-ekspo serantau dan antarabangsa untuk mempromosikan barangan keluaran mereka.

Semua ini adalah jalan-jalan kepada kemakmuran dan kesejahteraan.

Mengenai kesejahteraan ini, mulai esok, 1 Januari 2010, kita akan menguatkuasakan Skim Persaraan Caruman Tambahan atau SCP bagi kedua-dua sektor awam dan swasta, khususnya bagi mereka di bawah Skim Tabung Amanah Pekerja atau TAP, yang juga ada kaitannya dengan pertambahan umur persaraan kepada 60 tahun.

Kerajaan beta adalah komited bagi menjalankan sebarang kajian terhadap apa jua dasar, demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.

Dalam hubungan ini, beta percaya masih ada ruang untuk meneliti dan memperkenalkan skim-skim penabungan alternatif atau tambahan bagi menampung keperluan-keperluan asas, pada misalnya keperluan perumahan.

Dalam usaha-usaha pembangunan, semua ini adalah turut menjadi perhatian.

Kerana itu beta mengalu-alukan langkah-langkah pembaikan yang telah dan sedang diambil sejauh ini bagi mempercepatkan dan mempermudahkan lagi semua urusan orang ramai, termasuk yang berkaitan dengan urusan-urusan memulakan perniagaan.

Dengan adanya pembaikan-pembaikan seperti ini, tidak mustahil kedudukan negara dalam senarai ‘Ease of Doing Business’ boleh meningkat lagi.

Menurut International Financial Corporation, World Bank, bagi tahun 2010, negara kita berada dalam kedudukan yang ke-96 dari sejumlah 183 negara yang dinilai.

Jika negara memenuhi etika perkhidmatannya yang telus tanpa pilih kasih dan rasuah, maka insya-Allah, apa jua yang dirancang dan diusahakan akan berjalan dengan lancar dan berkat.

Inilah integriti yang perlu ada Perkhidmatan Awam, tanpa integriti ini, sesebuah negara boleh runtuh, atau paling tidak, akan kehilangan daya membangunnya.

Dalam kesempatan ini, beta ingin juga menyebut mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa. Di sudut ini, kita juga tidak boleh lari melainkan mesti sama-sama menghadapi pelbagai cabaran atau dugaan.

Yang paling penting bagi kita ialah membina sikap untuk terus berbaik-baik dengan semua negara sahabat di dunia.

Prinsip ini kita pegang, selaras dengan ajaran agama kita sendiri, yang menghendaki umatnya supaya saling berkenalan dengan semua bangsa dan kaum di dunia.

Namun perkenalan itu hendaklah diikat oleh prasyarat ‘hormat-menghormati’. Dalam erti kata, kita menghormati sahabat dan sahabat menghormati kita.

Ini diterjemahkan melalui pelbagai tindak-tanduk, termasuk perkataan, tulisan dan seumpamanya.

Apa-apa jua yang boleh menyinggung perasaan sahabat, semua itu dapat saja dianggap sebagai tidak memenuhi prasyarat tersebut.

Akhir sekali, beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua peringkat pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan dan juga kepada mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala usaha mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Di kesempatan ini juga, beta dan keluarga beta tidak lupa mengucapkan Selamat Tahun Baru Masihi 2010 kepada seluruh rakyat dan penduduk, dan mengajak mereka untuk sama-sama berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala melimpahkan rahmat dan pemeliharaan-Nya kepada kita dan negara.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Source: Press Room of Information Department)


*********

Inti sari Titah

* Memasuki Tahun Baru Masihi 2010 dengan perasaan gembira dan penuh bersyukur negara berjaya melalui liku-liku tahun 2009 dengan penuh cekal.

* Kerajaan berjaya menyuntik semangat rakyat sama-sama aktif dalam bidang pertanian.

* Kerajaan komited jalankan kajian terhadap apa jua dasar demi kesejahteraan rakyat dan penduduk.

* Menurut Bank Dunia, negara berada di kedudukan 96 dari 183 negara yang dinilai.

* Perkhidmatan telus tanpa pilih kasih dan rasuah.

* Kita menghormati sahabat dan sahabat juga menghormati kita.

(from Pelita Brunei, Tahun 55, Bil. 5, 2nd January 2010)

-------------------------------------

From Kamus Komprehensif Bahasa Melayu, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd (2005), Integriti = kejujuran dan ketulusan (misalnya pada majikan, syarikat, organisasi dan sebagainya).

From Oxford English dictionary (1997), integrity is the quality of being honest and morally upright.

Friday, January 1, 2010

Titah of His Majesty in conjunction with New Year 2010 (by RTB - English)

Photo (c) Infofoto 2009

His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mui'zzaddien Wadaullah, the Sultan And Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam in the titah pointed that we all enter the new year 2010 with the feeling of joy and full of gratefulness. Thus, one must be grateful, as the country has successfully glided through the year 2009 with perseverance, occasionally faced with shock, faced with rare incidents such as floods and landslides and also Influenza A H1N1. All these are natural causes, a sign, so that we are ever ready and wise in tackling them. Among the wise ways is to equip ourselves with major action plans, that include the basis of the worse case scenario. That way, the readiness will be more orderly in the future. The monarch was speaking earlier tonight in a titah broadcast by Radio and Television Brunei to the nation in conjunction with the New Year 2009.

His Majesty in the titah said The country has recorded several achievements along the year 2009. As an effort towards securing the food security of the country, the country has taken and is taking necessary steps in raising the local padi production. His Majesty is happy because with the government's move, it can be seen that it has successfully injected encouragement to the rakyat, together actively in the plantation field. His Majesty has heard that, nowadays many people who like to be called farmers, are attending to their land like never before. No doubt, it is the development that makes the country proud. Besides that, locals are also carrying out efforts in food industries and some can be seen participating in the regional and international expos to promote their food products. All these lead to peace and prosperity.

His Majesty in the titah said that as of 1st of January 2010, the country is introducing the the Supplemental Contributory Pension, SCP Scheme, for both public and private sectors explicitly for those under the Employee Trust Fund or TAP, and also for those inrelation to the raising of pension age of 60 years. His Majesty said the government is committed to carrying out any studies on any policy, for the peace of the rakyat and residents. In this regard, His Majesty believes that there is room for observing and introducing alternative saving schemes or other means of meeting the basic needs, such as housing needs.

In the development efforts, all these ought to be given attention. His Majesty welcomes improvement steps that have and is currently being taken to expedite and further facilitate all public concerns, including those related to starting business. With these steps, it is not impossible for the country's condition in the list of 'ease of doing business' can improve further. According to the International Financial Corporation, World Bank 2010, Brunei Darussalam is in the 96th position out 183 countries assessed. If a country fulfills its service ethics with transparency without favouritism and corruption, Allah willing, whatever that have been planned and carried out will proceed smoothly and be blessed. This is the integrity that civil service must have. Without integrity, a country will fall, or at least will lose the development capability.

On the regional and international development, His Majesty in his titah reminded the people in the country to be together in facing challenges or tests. According to His Majesty, the most important thing for the country is to develop an attitude to continuously be on good terms with all friendly nations in the world. This principle is to be upheld, in line with the religious teachings that require the ummah to know all races and tribes in the world. However, His Majesty said the acquaintances should be tied with a pre-conditional mutual respect, in other words, we respect our friends and vice versa. This is interpreted through various ways, including words, writings, and the like. Anything that can offend a friend, can be considered as not fulfilling the pre-conditions. Finally, His Majesty expressed his highest appreciation and thanks to the Civil Service officers and staff at all levels, Security Forces as well those serving with the private sector, for all their efforts in executing their respective responsibility. In this opportunity, His Majesty and His Majesty's family wish all the citizens and residents of the country A Happy New Year 2010, and call on them to pray together to Allah the Almighty for his blessings and protection for the people and nation.

extracted from RTB News website, 1st January 2010