Showing posts with label aidiladha. Show all posts
Showing posts with label aidiladha. Show all posts

Tuesday, December 15, 2009

Titah KDYMM sempena Hari Raya Aidiladha 1430H / 2009M

Photo (c) Infofoto 2009

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1430 Hijriah / 2009 Masihi pada 27 November 2009.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu 'Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Allahu Akbar
Allahu Akbar
Allahu Akbar
Walillahilhamd

Aidiladha datang lagi. Setinggi-tinggi syukur kita rafakan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang telah mengurniakan rahmat-Nya menemukan kita lagi dengan hari yang mulia ini.

Hari ini, seluruh umat Islam menyambutnya dengan riang gembira.

Di masjid-masjid atau di tanah-tanah lapang di seluruh dunia, sedang menyaksikan kegembiraan dan kemeriahan itu. Mereka berkumpul beramai-ramai untuk sama- sama bergembira dengan melakukan Sembahyang Sunat Aidiladha.

Apakah yang lebih membahagiakan lagi dari suasana seperti ini?

Bagi dada-dada yang penuh dengan iman, akan lebih merasakan lagi perkara tersebut, kerana iman itu adalah suluh hati. Orang yang hatinya bersuluh dengan iman, adalah orang yang dapat melihat, betapa indahnya Islam itu.

Agama Islam agama silaturahim, agama ramah mesra, agama muafakat. Islam tidak mengajar umatnya mementingkan diri, tetapi sebaliknya menyuruh, untuk komited dengan masyarakat.

Inilah ajaran Islam. Ia tergambar dalam sistem peribadatannya. Lihat sajalah kepada ibadat sembahyang, yang sangat-sangat digalakkan berjemaah, sehingga dijanjikan dengan pahala berlipat ganda, berbanding dengan sembahyang bersendirian.

Sekali dalam seminggu, diwajibkan pula berkumpul untuk Sembahyang Jumaat, sementara dua kali dalam setahun, digalakkan beramai-ramai untuk melakukan Sembahyang Sunat Aidilfitri dan Aidiladha.

Kemuncak dari perkumpulan paling besar pula, dilakukan di Mekah Al-Mukarramah pada Musim Haji.

Ini semua, adalah isyarat-isyarat jelas, betapa Islam itu menggalakkan pertemuan - pertemuan mesra di antara umatnya, bukan pertemuan-pertemuan kosong yang sia-sia, tetapi bertemu sambil beribadat kepada Allah Ta’ala.

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
Walillahilhamd

Melihat indahnya Islam itulah, menjadikan kita bertambah-tambah sayang kepadanya. Melihat ajaran-ajarannya yang sempurna itulah, membawa kita lebih bersemangat dan lebih ghairah lagi untuk melihatnya berkembang dan terus maju.

Semua pihak dari kalangan orang Islam tidak boleh berkecuali dalam memajukan Islam. Semua kita adalah sama-sama berkewajipan untuk berbuat yang demikian itu.

Dalam dunia yang penuh dengan pancaroba ini, bermacam-macam rancangan untuk melemahkan Islam, di antaranya yang paling merbahaya sekali ialah, berupa fitnah-fitnah terhadapnya dan juga terhadap dan juga terhadap orang-orang Islam sendiri.

Kita hanya mampu, untuk meminta supaya berhenti, tetapi mengharapkan orang berhenti adalah mustahil, berdasarkan, usia agama Islam yang dibawa oleh Sayidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam telah menjangkau lebih dari 1,400 tahun, namun hingga sekarang, fitnah-fitnah itu terus saja mekar dalam bentuknya yang bermacam-macam.

Di saat baik dan bulan baik ini, marilah kita samasama berdoa, semoga Allah terus memelihara agama-Nya dan memelihara kita semua hingga ke akhir hayat, berada di dalam selamat dan sejahtera dan terhindar daripada sebarang fitnah dunia Akhirat. Amin.

Allahuakbar
Allahuakbar
Allahuakbar
Walillahilhamd

Akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan ingatan penuh muhibah, sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha Al- Mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana saja mereka berada. Tidak lupa juga kepada mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah pada ketika ini. Semoga Allah memberikan kita semua kebahagiaan berupa perlindungan, kesihatan dan kemakmuran. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room, Information Department

Wednesday, December 10, 2008

Titah KDYMM sempena Hari Raya Aidiladha 1429H / 2008M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

HARI RAYA AIDILADHA 1429 HIJRAH/2008 MASIHI

(c) Infofoto 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulullahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nastaeenu ‘Ala Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen. Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen. Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Dengan takbir kita membesarkan Allah, dan dengan tahmid kita memuji-Nya. Allah Maha Besar dan segala puji adalah bagi-Nya.

Inilah kalimat-kalimat suci yang sedang memenuhi alam maya ini. Dengan tidak mengira di mana-mana jua, ia tetap diucapkan oleh sesiapa saja yang bernama Muslim.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Amat nyata kepada kita, bahawa hari ini keberkatan adalah melimpah ruah. Bibir-bibir sedia basah dengan zikrullah. Hati-hati khusyuk serta tunduk kepada-Nya. Hanya Dia jua, satu-satunya, yang disembah. Hanya Dia jua, satu-satunya, tempat munajat, bagi memohonkan berkat dan rahmat.

Berhadapan dengan kebesaran dan kekayaan Allah, kita semua adalah kerdil dan miskin. Siapa saja yang bernama makhluk adalah miskin. Hanya Allah jua Yang Maha Kaya.

Selaku hamba yang kerdil lagi miskin, kita semua perlu memiliki sifat kasih sayang sesama kita sendiri, sambil bertolong-tolongan secara timbal balik. Yang tua menyayangi yang muda, yang muda mengasihi yang tua. Yang lebih kuat menolong yang lemah, yang lemah pula membalasnya, walau dengan doa.

Inilah prinsip Islam, khasnya yang berkaitan dengan komuniti sosial dan kehidupan.

Kerana itulah, Islam itu dinamakan agama rahmat, sebab, daripadanya tumbuh simpati dan mencurah ihsan. Sehingga, kalau ada seseorang yang makan kenyang sedang jirannya lapar, maka Islam adalah mengutuknya.

Kita sebut perkara ini bersukut dengan Aidiladha yang mulia. Pada hari ini syiar Islam bergemerlapan dengan alunan takbir dan tahmid oleh umat Islam di seluruh dunia, lebih-lebih lagi, secara khusus, oleh jutaan jemaah haji di Tanah Suci.

Allah memang Maha Kaya. Di tengah-tengah krisis kewangan global yang melanda masyarakat antarabangsa pada ketika ini, umat Islam masih saja mampu untuk menyahut panggilan Ilahi ke Tanah Suci dengan penuh semangat, seperti mereka tidak merasakan langsung sebarang kesan dari krisis yang merunsingkan ini.

Begitulah, Allah merahmati para hamba-Nya yang taat, dengan rezeki mereka yang menakjubkan. Sepatutnya, operasi haji itu boleh saja terganggu, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu disebabkan krisis yang dahsyat ini. Tetapi kenyataannya tidak! Kerana rezeki itu adalah di tangan Allah, tidak siapa yang boleh menahannya kalau Dia memberi.

Kerana itu jangan takut, jika itulah perintah Allah, maka kewajipan kita ialah melakukannya. Seperti juga suruhan berzakat, jangan ingkar dan jangan tahan zakat kerana takutkan habis. Kalau inilah yang dikehendaki oleh Allah, maka apa perlunya lagi takut? Lebih-lebih lagi Allah sendiri juga sudah menjamin untuk menambahnya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Berbalik lagi kepada prinsip Islam dalam mengurus kehidupan sosial. Pada Hari Raya Aidiladha ini, umat Islam digalakkan berkorban. Pada setiap tahun, nampaknya semakin ramai umat Islam berkorban, iaitu suatu tanda menggalakkan bagi kebaikan dunia dan akhirat kita.

Cuma ada sedikit pemikiran, iaitu adakah pengagihan daging-daging korban itu sudah benar-benar menepati sasaran? Maksud beta, yang utama diutamakan, sementara yang kurang utama tidak pula diabaikan.

Walaupun hukum syarak turut membenarkan pengagihan daging korban kepada orang kaya seperti juga kepada fakir miskin, namun pada hemat beta, keutamaan adalah lebih wajar difokus kepada fakir miskin. Kerana beta khuatir, ada di antara fakir miskin itu yang mungkin tercicir dalam pembahagian, disebabkan misalnya, mereka jauh terpencil, atau tidak mempunyai kemudahan untuk menerima bahagian mereka, sedangkan orang yang kaya atau orang senang lebih mudah mendapatkan bahagian di majlis-majlis korban yang mereka hadiri sendiri.

Mengapakah perkara ini beta timbulkan? Kerana kita ingin melihat masyarakat berlaku adil kepada orang-orang daif yang lebih memerlukan. Manakala mereka ini dilayan dengan adil, sudah barang tentu akan menambahkan lagi keberkatan kepada orang-orang yang berkorban dan malah juga negara.

Apabila beta katakan demikian, bukalah bererti beta melarang orang-orang kaya dan senang dari mendapat bahagian mereka. Cuma secara wajarnya, orang-orang susah dan daif itu perlu mendapat perhatian yang lebih khusus dan adil.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan semangat muhibah dan tulus ikhlas, sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana saja mereka berada. Tidak dilupakan juga mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah pada ketika ini. Semoga Allah memberikan kita semua kebahagiaan berupa perlindungan, kesihatan dan kemakmuran. Amin.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Source: Press Room of Information Department)