Showing posts with label hari raya. Show all posts
Showing posts with label hari raya. Show all posts

Sunday, September 19, 2010

Titah KDYMM sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah

Image (c) Infofoto 2010

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijrah / 2010 Masihi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 7 Syawal 1431 / 16 September 2010

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat meraikan Aidilfitri Al-Mubarak 1431/2010. Lebih-lebih lagi kita meraikannya dalam suasana yang aman lagi selesa. Kita merasa bertuah dikurniakan nikmat ini.

Bagaimanapun, kita turut bersimpati dengan nasib sebilangan warga dunia yang ditimpa musibah-musibah berat, yang tentunya membawa kesengsaraan kepada mereka. Di antara mereka itu – dalam jumlah yang besar – ialah umat Islam.

Dalam perspektif Islam, musibah juga dikaitkan dengan kelakuan dan perbuatan manusia sendiri, seperti disebut oleh Al-Quran Surah Ar-Ruum, ayat 41, tafsirnya: “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab perlakuan tangan-tangan manusia…”

Perlakuan-perlakuan itu meliputi perbuatan maksiat secara peribadi dan perbuatan melanggar perintah, atau undang-undang, atau hukum-hakam Allah Taala.

Maka sehubungan ini, beta turut gembira dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan pegawai-pegawai dan kakitangan daripada agensi-agensi penguatkuasaan awam, yang memegang peranan memantau dan mengawal semua undang-undang dan peraturan di negara ini.

Mereka tidak syak lagi, adalah tunggak kerukunan dan benteng kesejahteraan yang sebenar-benarnya.

Peraturan dan undang-undang adalah ‘jiwa’ kepada masyarakat. Tanpa peraturan dan undang-undang,masyarakat akan lemah dan tidak dihormati. Oleh itu jentera penguatkuasaan mestilah kuat, tidak boleh lemah. Kerana jika ia lemah, negara dan masyarakat akan terjejas teruk.

Ada peraturan dan undang-undang sahaja belumlah cukup. Ibarat qalam atau pensil, tanpa tangan yang menjalankannya, qalam dan pensil itu tidak berguna apa-apa. Maka demikian itulah dengan peraturan dan undang-undang, mesti ada tangan dan kuasa melaksanakannya, barulah ia berguna. Jika tangan atau kuasa itu lemah, maka akan jadilah ibarat qalam tanpa dakwat, atau pensil yang patah, tidak akan membawa makna apa-apa.

Pada masa ini atau akhir-akhir ini, perbuatan melangkahi peraturan atau undang-undang adalah lumrah. Kerana itu, pihak penguatkuasa tidaklah boleh cuai atau berlonggar-longgar dengan peraturan atau undang-undang yang ada. Mereka perlu lebih tegas dan berani, asal saja jangan bertindak di luar batas kuasa yang sah.

Ambillah perhatian di semua aspek yang mungkin berlaku, seperti penggunaan logo-logo palsu, penyelewengan, penyeludupan, pelanggaran akta berkaitan tanah dan lain-lain oleh pihak-pihak tertentu. Tangani semuanya dengan peraturan atau undang-undang secara berhemah dan profesional. Jangan biarkan ada yang terlepas, kerana mereka adalah kudis berjangkit yang perlu dirawat.

Di akhir-akhir ini, jenayah rompak dan mengikat mangsa juga berlaku. Tangani pelaku yang terlibat dengan undang-undang tanpa tolak ansur. Pastikan mereka berhadapan dengan undang-undang dan mahkamah. Mereka jangan sekali-kali diberi peluang untuk mengulangi lagi perbuatan keji itu bagi kedua kalinya. Jika mereka itu berasal dari luar Brunei, maka pastikan supaya mereka faham, bahawa di Brunei tidak ada tempat bagi orang-orang yang seperti itu.

Pihak penguatkuasa keselamatan, tidak ada peluang lagi untuk memperlahankan langkah, tetapi perlu lebih ligat dan cepat untuk menumpas dan mencegah jenayah yang terkutuk itu.

Beta berharap, orang ramai juga kenalah lebih berhati-hati serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang padu kepada pihak-pihak penguatkuasa, tanpa perlu didesak-desak atau diminta.

Ingatlah, tanggungjawab kepada negara dan undang-undang adalah tanggungjawab bersama.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Tuesday, September 14, 2010

Titah KDYMM sempena Hari Raya Aidilfitri 1431H/2010M

Image (c) Infofoto 2010

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1431 Hijriah / 2010 Masihi.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil 'Aalameen, Wabihie Nasta'eenu 'Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu Asyrafil Mursaleen, Sayidina Muhammad Wa'alaa Aalihie Wasahbihie Ajma'een, Waba'du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Kita, zaman dan keadaan terus saja berubah, tetapi agama tidak berubah. Jika seribu lebih tahun dahulu, umat Islam menyambut Aidilfitri, maka sekarang pun ia terus disambut.Itulah agama. Ajarannya tidak mengalami sebarang perubahan. Jika seribu lebih tahun dahulu orang menyambutnya dengan takbir, maka sekarang pun kita menyambutnya dengan takbir juga dan malah, ungkapan takbir itu tidak berubah.

Kalau seribu lebih tahun dahulu diwajibkan mengeluarkan zakat fitrah, maka sekarang pun hukum itu berjalan terus.

Inilah namanya ketentuan hukum syarak. Mari kita amalkan ia, dengan semangat ketaatan yang tidak pernah padam.

Hanya sekarang saja kita ada peluang untuk beramal, iaitu sementara hayat dikandung badan. Jika sudah datang ajal, maka peluang itu tidak akan ada lagi.

Janganlah mogok dari melakukan ketaatan kepada Allah Ta'ala.

Ada orang, menjadikan Hari Raya penuh dengan kegiatan-kegiatan anti taat, seperti tidak atau cuai untuk melakukan sembahyang, disebabkan oleh terlampau sibuk dengan aktiviti-aktiviti hiburan dan seumpamanya. Atau setengahnya itu, ada yang sampai berbelanja dengan berlebihan sehingga ke tahap boros atau membazir.

Ini semua bukanlah Hari Raya, tetapi hari mengundang dosa.

Ingatlah, kita baru saja keluar dari 'perjuangan besar' selama sebulan genap. Kita telah berjaya menundukkan musuh besar kita yang bernama hawa nafsu. Kita juga telah dijanjikan dengan pahala berlipat ganda dari perjuangan ini, tetapi kemudian, mengapakah kita harus mengakhirinya dengan menghadiahkan kemenangan percuma kepada musuh yang telah ditewaskan itu?

Ubaya-ubaya, para iblis syaitan sekarang sudah bebas semula setelah sebulan dibelenggu. Mereka itu dengan hati yang amat sakit menyaksikan kita mengaut pahala dengan berpuasa, membaca Al-Qur'an dan bertarawih. Lalu apabila mereka bebas, tidakkah kerja tradisi mereka akan bermula pula untuk memperdaya umat Islam supaya menderhakai Allah?

Penderhakaan itu boleh saja berlaku dengan mudahnya, khasnya apabila kita terlampau asyik atau leka dengan bersuka ria.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Mari kita sama-sama berdoa, semoga ibadat kita di sepanjang bulan Ramadan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala, serta juga lain-lain ibadat di luar Ramadan.

Hanya inilah saja harapan kita untuk bekalan ke akhirat.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd

Untuk dunia yang fana ini pula, kita juga sentiasa bergantung kepada rahmat Allah, semoga dengan kemurahan-Nya jua, kita dan negara, akan terus dilimpahi dengan nikmat dan inayah-Nya berupa keamanan, keselamatan dan kemakmuran.

Diharapkan juga, kita semua, akan berterusan kekal beroleh kekuatan dan petunjuk, supaya dapatlah kita mempertahan dan memelihara segala kurniaan yang ada.

Akhirnya, dengan hati yang tulus ikhlas, beta dan keluarga beta mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat jelata dan penduduk, khasnya mereka yang beragama Islam, di mana juga mereka berada.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source:
PressRoom, Information Department

Saturday, October 10, 2009

Titah KDYMM sempena Hari Raya Aidilfitri 1430H/2009M

Titah Perutusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hssanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1430 Hijrah/2009 Masihi

Photo (c) Infofoto 2009


TITAH PERUTUSANKEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAMSEMPENAHARI RAYA AIDILFITRI TAHUN 1430 HIJRAH/2009 MASIHI


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Alihie Wasahbihie Ajma’een, Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillailhamd.

Apa pun keadaan dan suasana yang ada, Syawal tetap kita rayakan. Kita sambut ia dengan takbir dan tahmid. Takbir dan tahmid adalah ucapan kemenangan.

Tidak ada yang lebih hebat dari takbir dan tahmid. Takbir membesarkan Allah, sementara tahmid memuji keagungan-Nya.

Walaupun pada tahun ini, sambutan Hari Raya ditakdirkan berbeza dari tahun-tahun yang lalu, namun semangatnya tetap tidak pudar, malah terus hidup dan subur di sanubari setiap individu.

Tempat-tempat ibadat akan terus meriah di pagi Hari Raya, sebagaimana lazimnya. Umat Islam tua muda, dengan keimanan di dada, akan melakukan Sembahyang Sunat Aidilfitri di masjid-masjid dan surau-surau.

Inilah dia puncak kemeriahan dan keberkatan. Jika ini dapat dibuat dengan sempurna, maka itulah kepuasan yang sebenar-benarnya. Kita puas, kerana telah dijanjikan dengan ganjaran berupa pahala.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamd.

Resam orang beriman pandai membawa diri. Jika terjumpa nikmat disambutnya dengan syukur. Kalau bertemu musibah diterimanya dengan sabar.

Apa pun keadaan, nikmat masih saja mengatasi segalanya. Khusus di sepanjang bulan Ramadan ini, ramai orang berkeadaan sihat sehingga mampu berpuasa, mampu membaca Al-Qur’an, mampu berterawih dan mampu qiamullail. Kemudian apabila menjelang Syawal, mampu pula ke masjid untuk Sembahyang Hari Raya.

Apakah ini bukan nikmat namanya? Sudah tentulah ia nikmat. Dan kita pun menjawatnya dengan syukur.

Di masa yang sama, kita juga hingga sekarang masih lagi berjaga-jaga terhadap musibah H1N1. Musibah ini jelas merupakan satu ujian kepada kita. Lalu kita pun menerimanya dengan sabar.Kesabaran kita tidak kosong, tetapi berpaksikan ikhtiar. Kita menanganinya dengan pelbagai cara: Dengan doa, dengan Qunut Nazilah dan dengan Sembahyang Hajat, di samping juga, tidak mengabaikan nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai juga boleh menyumbang mengurangkan risiko, dengan memahami langkah-langkah pencegahan yang mudah, iaitu dengan mengelakkan diri daripada mana-mana individu yang mempunyai simptom influenza-like illness serta menjauhi kawasan-kawasan sesak yang tidak perlu. Atau jika mustahak juga, orang akan memakai penutup mulut dan hidung.

Inilah mustahaknya ikhtiar itu. Malah ugama kita juga menyuruh berikhtiar.

Maka berlandaskan inilah, beta sendiri mengambil langkah ke hadapan untuk tidak membuka Istana pada tahun ini kepada rakyat dan penduduk, bagi membolehkan mereka berziarah kepada beta dan ahli kerabat, demi semata-mata sebagai satu ikhtiar jua, ke arah melindungi kepentingan dan keselamatan orang awam daripada risiko jangkitan wabak H1N1.

Walaupun setakat ini alhamdulillah, kita berada di tahap yang baik, namun sampai sekarang, belum ada lagi pihak-pihak yang berani menjamin bahawa keadaan sudah pun pulih, melainkan kegelisahan dan keraguan masih saja terdapat di mana-mana.

Kerana itu, beta berharap, pihak-pihak yang berkenaan janganlah lalai, apatah lagi berhenti, dari menyedarkan orang ramai dengan nasihat-nasihat pencegahan dan menghindarkan daripada wabak yang ditakuti ini.

Insya-Allah, dengan berkat doa dan munajat kita yang berterusan serta lain-lain usaha, Allah Subhanahu Wataala akan menyelamatkan kita dan negara.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar Walillahilhamd.

Dengan hati yang tulus ikhlas lagi jernih, beta dan keluarga beta dengan seakrab-akrabnya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Al-Mubarak kepada sekalian rakyat dan penduduk, khasnya mereka yang berugama Islam di mana saja mereka berada.

Semoga kita dengan izin Allah, akan bertemu pula di tahun mendatang, dengan penuh bahagia dan muhibah, serta negara dalam keadaan makmur dan selamat, bebas dari sebarang wabak dan malapetaka. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Wednesday, December 10, 2008

Titah KDYMM sempena Hari Raya Aidiladha 1429H / 2008M

TITAH PERUTUSAN

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA

HARI RAYA AIDILADHA 1429 HIJRAH/2008 MASIHI

(c) Infofoto 2008

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulullahi Rabbil ‘Alameen, Wabihie Nastaeenu ‘Ala Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen. Sayyidina Muhammadin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen. Waba’du.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Dengan takbir kita membesarkan Allah, dan dengan tahmid kita memuji-Nya. Allah Maha Besar dan segala puji adalah bagi-Nya.

Inilah kalimat-kalimat suci yang sedang memenuhi alam maya ini. Dengan tidak mengira di mana-mana jua, ia tetap diucapkan oleh sesiapa saja yang bernama Muslim.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Amat nyata kepada kita, bahawa hari ini keberkatan adalah melimpah ruah. Bibir-bibir sedia basah dengan zikrullah. Hati-hati khusyuk serta tunduk kepada-Nya. Hanya Dia jua, satu-satunya, yang disembah. Hanya Dia jua, satu-satunya, tempat munajat, bagi memohonkan berkat dan rahmat.

Berhadapan dengan kebesaran dan kekayaan Allah, kita semua adalah kerdil dan miskin. Siapa saja yang bernama makhluk adalah miskin. Hanya Allah jua Yang Maha Kaya.

Selaku hamba yang kerdil lagi miskin, kita semua perlu memiliki sifat kasih sayang sesama kita sendiri, sambil bertolong-tolongan secara timbal balik. Yang tua menyayangi yang muda, yang muda mengasihi yang tua. Yang lebih kuat menolong yang lemah, yang lemah pula membalasnya, walau dengan doa.

Inilah prinsip Islam, khasnya yang berkaitan dengan komuniti sosial dan kehidupan.

Kerana itulah, Islam itu dinamakan agama rahmat, sebab, daripadanya tumbuh simpati dan mencurah ihsan. Sehingga, kalau ada seseorang yang makan kenyang sedang jirannya lapar, maka Islam adalah mengutuknya.

Kita sebut perkara ini bersukut dengan Aidiladha yang mulia. Pada hari ini syiar Islam bergemerlapan dengan alunan takbir dan tahmid oleh umat Islam di seluruh dunia, lebih-lebih lagi, secara khusus, oleh jutaan jemaah haji di Tanah Suci.

Allah memang Maha Kaya. Di tengah-tengah krisis kewangan global yang melanda masyarakat antarabangsa pada ketika ini, umat Islam masih saja mampu untuk menyahut panggilan Ilahi ke Tanah Suci dengan penuh semangat, seperti mereka tidak merasakan langsung sebarang kesan dari krisis yang merunsingkan ini.

Begitulah, Allah merahmati para hamba-Nya yang taat, dengan rezeki mereka yang menakjubkan. Sepatutnya, operasi haji itu boleh saja terganggu, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu disebabkan krisis yang dahsyat ini. Tetapi kenyataannya tidak! Kerana rezeki itu adalah di tangan Allah, tidak siapa yang boleh menahannya kalau Dia memberi.

Kerana itu jangan takut, jika itulah perintah Allah, maka kewajipan kita ialah melakukannya. Seperti juga suruhan berzakat, jangan ingkar dan jangan tahan zakat kerana takutkan habis. Kalau inilah yang dikehendaki oleh Allah, maka apa perlunya lagi takut? Lebih-lebih lagi Allah sendiri juga sudah menjamin untuk menambahnya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakabar, Walillahilhamd.

Berbalik lagi kepada prinsip Islam dalam mengurus kehidupan sosial. Pada Hari Raya Aidiladha ini, umat Islam digalakkan berkorban. Pada setiap tahun, nampaknya semakin ramai umat Islam berkorban, iaitu suatu tanda menggalakkan bagi kebaikan dunia dan akhirat kita.

Cuma ada sedikit pemikiran, iaitu adakah pengagihan daging-daging korban itu sudah benar-benar menepati sasaran? Maksud beta, yang utama diutamakan, sementara yang kurang utama tidak pula diabaikan.

Walaupun hukum syarak turut membenarkan pengagihan daging korban kepada orang kaya seperti juga kepada fakir miskin, namun pada hemat beta, keutamaan adalah lebih wajar difokus kepada fakir miskin. Kerana beta khuatir, ada di antara fakir miskin itu yang mungkin tercicir dalam pembahagian, disebabkan misalnya, mereka jauh terpencil, atau tidak mempunyai kemudahan untuk menerima bahagian mereka, sedangkan orang yang kaya atau orang senang lebih mudah mendapatkan bahagian di majlis-majlis korban yang mereka hadiri sendiri.

Mengapakah perkara ini beta timbulkan? Kerana kita ingin melihat masyarakat berlaku adil kepada orang-orang daif yang lebih memerlukan. Manakala mereka ini dilayan dengan adil, sudah barang tentu akan menambahkan lagi keberkatan kepada orang-orang yang berkorban dan malah juga negara.

Apabila beta katakan demikian, bukalah bererti beta melarang orang-orang kaya dan senang dari mendapat bahagian mereka. Cuma secara wajarnya, orang-orang susah dan daif itu perlu mendapat perhatian yang lebih khusus dan adil.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta, dengan semangat muhibah dan tulus ikhlas, sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha yang mubarak kepada semua lapisan rakyat dan penduduk yang beragama Islam, di mana saja mereka berada. Tidak dilupakan juga mereka yang sedang berada di Tanah Suci Mekah pada ketika ini. Semoga Allah memberikan kita semua kebahagiaan berupa perlindungan, kesihatan dan kemakmuran. Amin.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Source: Press Room of Information Department)

Tuesday, October 14, 2008

Titah sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan SHHB

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijrah / 2008 Masihi Anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah Pada Hari Isnin 12 Syawal 1429 / 13 Oktober 2008



TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI
TAHUN 1429 HIJRAH/2008 MASIHI
ANJURAN YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

PADA
HARI ISNIN 12 SYAWAL 1429/13 OKTOBER 2008

BERTEMPAT
DI DEWAN PLENARY
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS



Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita menyambut Hari Raya Fitrah yang mubarak.

Kehadiran Hari Raya telah menjanjikan limpah kurnia besar dari Allah untuk kita umat Islam. Ia juga merupakan Hari Suci, dinamakan Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah. Dalam bahasa, salah satu makna fitrah itu ialah ‘agama’ iaitu Agama Islam yang suci. Kemudian, ia dihubungkan pula dengan pengeluaran zakat fitrah. Zakat adalah bererti sedekah atau pembersihan terhadap diri dan juga terhadap harta.

Syari’at zakat turut menjadi landasan memperkukuh ummah. Dengannya, pembelaan terhadap golongan yang daif dapat direalisasikan.

Begitulah antara lain rahsia zakat. Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali dari mempunyai pelbagai kelompok masyarakat yang memerlukan perhatian. Kita juga mempunyai kelompok fakir miskin, golongan remaja yang menjadi magsa dadah, mangsa bencana alam dan seumpamanya.

Namun kita bersyukur kerana masih mempunyai anggota masyarakat yang prihatin, yang sentiasa bersedia untuk menyumbangkan khidmat bakti bagi membantu golongan-golongan ini. Di antara tanda keprihatinan itu ialah penunaian zakat oleh orang-orang Islam.

Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada tahun ini, menampilkan sukarelawan dan rakan-rakan strategik kepada Yayasan, iaitu dua kumpulan yang gemar membantu dan melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Kepada mereka ini, beta ucapkan tahniah dan penghargaan yang ikhlas.

Para remaja dan belia amat perlu didedahkan kepada sikap kesukarelawan seperti ini. Ia akan memberkan suntikan kesedaran kepada generasi muda untuk lebih peka dengan nasib anak bangsa yang memerlukan bantuan, di samping juga akan menipiskan sikap mementingkan diri sendiri di kalangan mereka.

Pembentukan sikap yang besar ini sangatlah mustahak, terutama di zaman yang amat pesat dengan pembangunan ini. Kita tidak mahu pembangunan itu akan menjadikan budaya kita lemah. Budaya orang Brunei ialah budaya muafakat dan budaya tolong-menolong. Ia perlu kuat dan terus diamalkan, bukan seperti di kebanyakan bahagian dunia hari ini, budaya seperti ini sudah agak lemah, digantikan oleh budaya berlepas tangan dan budaya nafsu-nafsi.

Berdasarkan semangat muafakat serta sikap mengambil berat inilah, maka baru-baru ini beta telah memperkenankan penubuhan Majlis Kebangsaan Isu Sosial, untuk menangani masalah dan isu sosial yang sangat merunsingkan, yang juga akan berperanan bagi menyelaras program-program yang dirancang oleh agensi-agensi yang terlibat supaya lebih berkesan dan teratur.

Sehubungan dengan itu, beta juga menyambut baik inisiatif Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menubuhkan Unit Sukarelawannya. Beta difahamkan, sejak penubuhannya tahun 2005, unit ini sekarang telah mempunyai ahli seramai 564 orang, yang terdiri daripada para belia dari pelbagai latar belakang pendidikan dan kemahiran. Unit ini tentu saja sudah mempunyai rancangan-rancangannya yang telah atau sedang dilaksanakan dengan jayanya.

Sebagai sebuah institusi sosial, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah menyedari, bahawa ia tidak dapat bergerak sendirian tanpa sokongan agensi-agensi kerajaan mahupun swasta serta lain-lain badan di luar kerajaan. Dalam makna, Yayasan memang memerlukan kerjasama melalui pendekatan rangkaian strategik dengan agensi-agensi dan badan-badan tersebut, khasnya dalam memastikan keberkesanan pengurusan dan penyaluran bantuan-bantuan sosial kepada masyarakat. Alhamdulillah, sejauh ini beta melihat, Yayasan telah pun menikmati kerjasama tersebut.

Apa yang kita buat ini, menepati tradisi kebanyakan institusi-institusi sosial di seluruh dunia. Mereka itu telah mengendalikan program-program kemasyarakatan mereka melalui pendekatan yang dipanggil pendekatan strategik atau ‘strategic alliances’. Melalui pendekatan inilah, kepakaran, sumber tenaga manusia dan sumber kewangan boleh digunakan secara maksima untuk pembangunan yang berkesan.

Di negara kita, tidak kurang agensi-agensi dan badan-badan yang terlibat dengan program-program kemasyarakatan. Malah juga pihak-pihak individu yang prihatin.

Isu kemasyarakatan yang sering disebut-sebut, khasnya oleh media-media massa ialah isu kemiskinan. Agensi-agensi yang berkaitan telah turut menangani masalah ini dengan program-program mereka yang bermacam-macam, dengan fokus yang sama, iaitu mahu meringankan beban kemiskinan tersebut.

Pada hemat beta, isu kemiskinan di negara ini belumlah separah di tempat-tempat lain di luar negara. Ia mungkin dapat dikendalikan dengan lebih efektif melalui kaedah-kaedah praktikal yang bersesuaian dengan keadaan di negara ini. Cuma saja barangkali, kita ini belum lagi menemukan atau belum mahu mencuba kaedah-kaedah tersebut.

Salah satu cara yang telah pun dikenal pasti ialah melalui penggunaan sumber alam oleh manusia, di mana anggota masyarakat yang miskin adalah sebahagian daripada kelompok tersebut.

Dalam konteks ini, beta tertarik membaca The World Bank’s World Development Report 2007, yang menyatakan, bahawa bidang pertanian adalah mampu mengurangkan kadar kemiskinan secara efektif sebanyak empat kali ganda, berbanding sektor ekonomi yang lain. Ini tentu saja boleh menyuntik minda kita sebagai salah satu kaedah yang dapat dikembangkan bagi mengatasi masalah kemiskinan, di samping lain-lain kaedah lagi. Tinggal saja kita ini, mahu ataupun belum mahu lagi mencubanya.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

(Source: Press Room of Information Department website)

-----

HM underscores to uphold Bruneian culture based on consultation and helping one another

His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam has underscored the need to uphold the Bruneian culture based on consultation and of helping one another. Speaking at a Hari Raya gathering organised by the Sultan Haji Hassanal Bolkiah Foundation Monday, the Monarch pointed that the festivity is correlated to the handing out of ‘zakat’ or tithes. Brunei Darussalam is not exempted from having its own various groups that are in need, including the poor, of youth falling victims to drugs as well as victims of natural disasters and the likes. Nevertheless, the Monarch said the ummah should be grateful for still having members of the community who are caring and ever prepared to contribute their services toward helping these groups. Among the gestures is by contributing the ‘zakat’ or tithe. His Majesty noted that the Hari Raya celebration brings forth volunteers and strategic partners of the Foundation that constitute two groups who are very willing to help implement welfare works. In this regard, the Monarch extended his congratulations and appreciation to them, adding that youth needs to be exposed to this kind of voluntary responsibilities. This will inject awareness among the young toward helping their compatriots in need, apart from eroding attitudes of self interest. This is extremely important especially in this age of intensive development. Development must not be allowed to weaken the consultation-based culture and mutual help. This must remain strong and continue to be practised, unlike in some parts of the world where such culture is weak and replaced by a culture of hands-off and lust and desire.

Based on the basis of discussion and consultation as well as mindfulness, His Majesty recently consented to the establishment of the National Council for Social Issues, designed to handle most perplexing social problems and issues. It also has a role to coordinate programmes planned by relevant agencies so as to be more effective and better organised. In this context, the Monarch welcomes the initiative by the Sultan Haji Hassanal Bolkiah Foundation to form its voluntary unit. Formed in 2005, the unit now has 564 members comprising youth from various educational and skills background. However, the Foundation cannot act alone without the support of government agencies and the private sector. It requires cooperation through strategic networking alliances with these agencies, especially in ensuring management effectiveness and channelling of social assistance to the community. The Foundation tries to fulfil the tradition of most social institutions around the world. It has been implementing community programmes through an approach called strategic alliances. Through this, expertise, human and financial resources can be maximised for effective development. In Brunei Darussalam, there is no shortage of agencies and bodies as well as individuals involved in community programmes.

His Majesty also highlighted social issues often mentioned in the mass media as the poverty issue. Relevant agencies have been handling this problem through their programmes focused on alleviating poverty. According to the Monarch, poverty in this country is not as critical as in some other countries. It can still be managed more effectively through practical ways. Only that, the society has not yet found or tried such ways. Nevertheless, one of the methods is through the use of natural resources by man, of whom the poor community is a part. His Majesty said he’s impressed by the World Bank’s World Development 2007 Report which states that agriculture is capable of reducing the poverty rate by four folds, compared to other economic sectors. This obviously encourages the society to develop agriculture as a way of overcoming poverty aside other means.

(Source: RTB News, 14th October 2008)

Thursday, October 9, 2008

visiting the Istana Nurul Iman

(c) Infofoto 2008

(c) Jennifer Mok 2008


The Istana Nurul Iman received 101,890 Hari Raya Aidilfitri well-wishers from 2 to 4 Syawal 1429 when the palace was opened to the public.

First day of open = 19,336 (morning) + 22,813 (afternoon) = 42,149

Second day of open = 23,110 (morning) + 10,846 (afternoon) = 33, 956

Third day of open = 17,464 (morning) + 8,321 (afternoon) = 25,785

Total = 101, 890 people


Source: RTB News

Thursday, October 2, 2008

Hari Raya ‘Idilfitri Tahun 1429 Hijrah / 2008 Masihi

(c) Infofoto 2008


TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH IBNI AL-MARHUM SULATAN HAJI OMAR ‘ALI SAIFUDDIEN SA’ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI RAYA ‘IDILFITRI TAHUN

1429H/2008M



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillahir Rahmanir Rahim


Alhamdulillahi Rabbil’alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadeen, Wa’ala ‘Aalihie Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.


Allahu Akbar,


Allahu Akbar,


Allahu Akbar,


Walillahil Hamd,


Kedatangan Syawal kita sambut dengan takbir dan tahmid. Takbir dan tahmid adalah semboyan ‘kejayaan’. Dalam makna, kita sekarang telahpun berjaya, alhamdulillah.


Berjaya dalam perkara apa?


Kita berjaya dalam perkara ‘menta’ati Allah’, melalui ibadat berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan.


Mengapa kepatuhan kita melaksanakan ibadat ini dipanggil kejayaan? Kerana puasa itu bukanlah perkara mudah, tetapi amat berat. Ia menyalahi kebiasaan, dan malah bertentangan dengan naluri dan nafsu manusia, terutama kebiasaan dan naluri makan minum.


Memang tidak siapa yang mahu lapar tanpa makan dan minum. Lebih-lebih lagi dengan senghaja melaparkan diri.


Kerana itu, tidak diragukan lagi, ibadat puasa adalah ujian paling getir bagi setiap individu muslim. Ia memerlukan ketabahan dan keyakinan. Barangsiapa yang tabah dan yakin, dialah yang akan berjaya.


Benar, ia berat dan getir. Tetapi orang yang tahu rahsianya, berat dan getir itu tidak lagi menjadi rintangan, lebih-lebih lagi kalau orang tahu, bahawa menurut sebuah hadis, syurga adalah bergembira dan berhias kerana kedatangan bulan Ramadhan.


Allah Ta’ala juga berseru pada setiap malam di bulan Ramadhan : Adakah sesiapa yang meminta? Aku akan beri dia. Adakah sesiapa yang bertaubat? Aku akan terima taubatnya.


Ini semua menjadi alamat bertapa mulia dan berkatnya bulan Ramadhan itu.


Di dalam buln ini juga terdapat satu malam, dinamakan Malam Qadar, atau dalam bahasa al-Qur’an: Lailatul Qadar. Amalan pada malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan yang dibuat pada bukan Malam Qadar.


Orang-orang Islam semuanya mengharapkan Lailatul Qadar. Kita di Brunei juga tidak terkecuali. Kita, telahpun menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan al-Qur’an dan tarawih. Semogalah satu malam dari malam-malam yang kita hayati itu ialah Malam Qadar.


Sekarang, kita berada pula diambang raya. Allah Yang Maha Pemurah terus sahaja membukakan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beraya. Menurut maksud sebuah hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam : Barangsiapa yang menghidupkan dua malam hari raya dengan ibadat, maka tiadalah mati hatinya pada hari yang dimatikan segala hati.


Ini, merupakan isyarat jelas, bahawa hari raya juga hendaklah turut diisi dengan ibadat, bukannya dengan hanya suka-suka kosong atau hiburan-hiburan yang melekakan.


Berkata ulama ahli hikmah : hari raya itu mengandungi iktibar dan pengajaran, diantaranya, apabila berlalu Ramadhan dan menjelang Syawal, adalah itu umpama seorang yang apabila mati, akan pergilah dunianya dan datang pula akhiratnya. Apabila mendengar bedil serta sorak-sorai dihari raya, maka janganlah lupa, bahkan sentiasalah ingat akan tiupan sangkakala israfil di hari Kiamat kelak.


Demikian, semua hari-hari yang dilalui itu mengandungi hikmahnya yang tersendiri, lebih-lebih lagi hari-hari yang disyari’atkan, seperti Hari Raya, Hari ‘Arafah dan lain-lain.


Kita janganlah mengabaikan hikmah-hikmah itu, kerana ianya membawa kebaikan yang bukan sedikit, sama ada kebaikan untuk dunia, mahupun lebih-lebih lagi kebaikan diakhirat.


Oleh itu, didalam perkara hari raya, disamping tidak mencuaikan ibadat, kita juga dituntut supaya jangan menjerumuskan diri kepada perkara-perkara sia-sia yang menyalahi ugama, seperti pesta-pesta serta hiburan-hiburan yang tidak bermoral, pembaziran dan seumpamanya.


Allahu Akbar,


Allahu Akbar,


Allahu Akbar,


Walillahil Hamd,


Disa’at yang bersukur baik ini, Beta dan keluarga Beta tidak lupa mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idilfitri kepada semua rakyat dan penduduk yang berugama Islam dimana sahaja mereka berada. Semoga kita semua serta Negara sentiasa berada dalam aman, makmur dan selamat dibawah pemeliharaan Allah.


Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalaamu ‘Alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.


Wednesday, October 1, 2008

Hari Raya Aidilfitri 1429H on 2nd October 2008

Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Negara Brunei Darussalam memaklumkan Hari Raya Aidilfitri bagi negara ini jatuh pada hari Khamis, 1 Syawal 1429 Hijrah bersamaan 2 Oktober 2008.

Rombongan pegawai dan kakitangan dari Jabatan Syariah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Mufti Kerajaan dan Jabatan Ukur petang tadi berada di beberapa tempat yang ditentukan untuk merukyah anak bulan Syawal bagi tahun 1429 Hijrah.

Hasil daripada penglihatan yang telah dilakukan oleh rombongan berkenaan di tempat-tempat berkenaan mendapati anak bulan Syawal tidak sabit dilihat.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar memaklumkan perkara tersebut melalui Radio dan Televisyen Brunei.

(from the daily Pelita Brunei Online, 1st Oct 2008)

Saturday, September 27, 2008

Istana Nurul Iman opens to members of public for 3 days from 2nd day of Hari Raya



By Command of His Majesty Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, the Sultan and Yang Di-Pertuan of Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana, the Grand Chamberlain announces that in conjunction with Hari Raya Aidilfitri 1429 Hijrah, the Istana Nurul Iman will be opened to members of the public for three days starting from the 2nd day of Hari Raya.

This is to allow the public to personally extend Hari Raya greetings to members of the royal family from ten in the morning to noon and again from two until four in the afternoon.

(extracted from RTB News online, 27th Sept 2008)

Photos (c) Information Department, 2006