Friday, May 6, 2011

Titah KDYMM sempena Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di UK dan Ireland Utara

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Ireland Utara terdiri daripada penuntut-penuntut, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas, berkursus dan dalam percutian bersama keluarga di London, United Kingdom pada hari Ahad, 1 Mei 2011.

Image (c) Infofoto 2011

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil'alameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat bersama-sama dengan rakyta dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini, terutama para penuntut dan pegawai kerajaan yang sedang bertugas atau berkursus dan juga mereka yang di dalam percutian bersama keluarga.

Beta berharap perhimpunan ini akan dapat memberi manfaat kepada sekalian yang hadir.

Adalah sedia dimaklumi, ramai yang hadir di sini terdiri daripada golongan penuntut. Mereka itu, di mata rakyat dan kerajaan, adalah selaku aset dan juga ejen masa depan.

Kerana itu, pada setiap tahun, kerajaan tidak teragak-agak untuk menganugerahkan biasiswa kepda mereka yang cemerlang bagi melanjutkan pelajaran di luar negara.

Negara memang memerlukan mereka demi kelangsungannya. Kerana pada mereka itu terdapat upaya dan potensi menentukan, sama ada negara akan bergerak maju ataupun sebaliknya.

Sebab itulah, para penuntut perlu sedar, bahawa diri mereka bukanlah milik mutlak mereka sendiri, tetapi juga turut dikongsi oleh masyarakat dan negara.

Tidak kira sama ada mereka belajar sendiri, atau apatah lagi yang terikat dengan biasiswa kerajaan, mereka tidaklah boleh mengelak tanggungjawab terhadap kerajaan apabila mereka telah lulus nanti.

Tetapi malangnya, sudah ada kedengaran orang yang memilih tempat lain dari negaranya sendiri untuk berkhidmat.

Dengan apa pun alasan, perkara ini adalah tidak elok. Kerana ia bertentangan dengan etika taat setia, atau juga boleh disebut sebagai tidak patriotik.

Jika kita padat dengan kesetiaan dan memiliki semangat patriotik, sudah barang tentu perkara ini tidak mungkin berlaku. Kepentingan negara tentu sahaja akan diutamakan melebihi daripada kepentingan diri sendiri.

Jadi sukalah beta mengingatkan, suapaya para penuntut benar-benar bersikap bulat kepada Brunei. Janganlah sumbing atau cacat. Biar kita tetap bulat supaya lebih berkat.

Negara Brunei Darussalam amat memerlukan orang-orang cerdik pandai dari kalangan warganya sendiri. Kerana itu kerajaan beta sanggup berbelanja besar untuk menghantar penuntut-penuntut dan pegawai-pegawai bagi mendapatkan kelayakan-kelayakan tertentu di dalam bidang-bidang yang diperlukan.

Tetapi sayangnya, terdapat mereka yang enggan pulang untuk berkhidmat di tanah air sendiri.

Beta berharap, attitude kurang bagus ini janganlah ianya berterusan, tetapi perlu segera berakhir, digantikan oleh attidude Brunei tulen.

Attitude Brunei tulen ialah sukan mematuhi janji dan pandai membalas budi.

Inilah dua bentuk attitude yang menjadikan Brunei sebuah negara yang sangat-sangat disenangai lagi dihormati.

Oleh itu, bagi semua penuntut dan pegawai, patutlah menjadikannya sebagai pakaian dan pegangan mereka di semua keadaan dan masa.

Ingatlah, penuntut dan pendidikan adalah pelaburan sepanjang hayat. Masyarakat dan negara mahu melihat hasilnya.

Jika hasil yang diharapkan itu tidak memuaskan, bermakna pelaburan kita telah gagal menepati sasarannya.

Oleh itu perlu disedari oleh para penuntut, bahawa mereka tidak pernah luput daripada cabaran, cabaran paling sengit, termasuklah cabaran gaya hidup baru yang terpaksa dilalui oleh mereka.

Gaya hidup baru ini, meliputi cara belajar, cara bergaul, cara berfikir dan seumpamanya. Jika semua cara-cara ini gagal dikuasai oleh mereka, bererti negara juga gagal dalam pelaburannya.

Maka sehubungan itu, amatlah wajar ditekankan, supaya para penuntut kita benar-benar menjadi golongan pemikir, bukan sahaja untuk kebaikan diri mereka sendiri, malahan juga bagi kebajikan seluruh masyarakat dan negara.

Di samping fokus kepada kebajikan duniawi, para penuntut juga jangan sekali-kali mengabaikan hubungan mereka dengan Allah Ta’ala.

Inilah dia garis pemisah di antara kita dengan orang lain. Kita tidak hanya menggunakan akal, tetapi juga terikat kepada syari’at dan akidah.

Pandai-pandailah menyesuaikan diri. Jangan diabaikan warisan kita: Melayu Islam Beraja, insya-Allah, kapal kita akan selamat walaupun laut bergelora.

Akhirnya, beta turut berdoa semoga rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di sini akan menikmati kesejahteraan.

Demikian juga, tidak dilupakan para penuntut, semoga mereka semuanya berada dalam sihat, terang hati dan beroleh petunjuk sehingga dengannya akan mendapat kejayaan-kejayaan yang cemerlang di dalam pengajian masing-masing.

Sekian. Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Source: Press Room, Information Department

Thursday, March 31, 2011

Ban on Import of Japanese food products

For those who are concerned on the radioactive-contaminated Japanese food, products Brunei has already banned the importation from the affected area, effective from 29th March 2011. From the official website of Ministry of Health of Brunei Darussalam:

LARANGAN PENGIMPOTAN MAKANAN DARI JEPUN

Berikutan dari penemuan pencemaran bahan radiasi nuklear dalam makanan, termasuk makanan yang diproses dan juga produk-produk pertanian dan perikanan segar dari Jepun, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama ingin memaklumkan kepada para pengimport dan orang ramai bahawa makanan dari kawasan-kawasan yang terjejas adalah ditegah buat sementara waktu dari diimport ke Negara ini. Setakat ini, kawasan-kawasan yang terlibat ialah wilayah Kanto (iaitu Daerah-Daerah Ibaraki, Tochigi, Gunma, Saitama, Chiba, Tokyo dan Kanagawa) dan Daerah Fukushima, Jepun.

Sementara itu, makanan yang diproses dan produk-produk pertanian dan perikanan segar yang diimport dari daerah-daerah lain di Jepun dikehendaki mempunyai ‘Certificate of Origin’ dan sijil pengesahan bebas dari pencemaran radiasi.

Langkah-langkah tersebut diambil adalah untuk memastikan bahawa makanan yang diimport ke Negara ini adalah selamat untuk dimakan. Setakat ini, selepas kejadian bencana pada 11 Mac 2011 belum ada pengimpotan makanan dari Jepun.

Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama akan sentiasa memantau situasi di Jepun dan serantau melalui hubungan kerjasama dan juga maklumat yang diterima dari berbagai agensi-agensi antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), International Atomic Energy Agency (IAEA), US Food and Drug Administration (FDA), Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dan pihak-pihak yang berkuasa di negara-negara jiran.

Bagi sebarang pertanyaan dan keterangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi:

Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan
Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar
Jabatan Perkhidmatan Kesihatan
Kementerian Kesihatan

Nombor telefon: 233 1105 / 233 1106 / 233 1108 / 233 1109 / 233 1110
Nombor faksimili: 233 1107
Alamat e-mel: fsqc@hotmail.com

Atau

Jabatan Pertanian dan Agrimakanan
Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama

Nombor telefon: 238 8000
Nombor faksimili: 238 2226 / 238 1639
Alamat e-mel: info@agriculture.gov.bn / agriculture.agrifood@gmail.com

Atau

Jabatan Perikanan
Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama
Nombor telefon: 238 3067
Nombor faksimili: 238 2069
Alamat e-mel: bruneifisheries@brunet.bn


Useful Links: Agri-Food & Veterinary Authority of Singapore (AVA): AVA SUSPENDS IMPORT OF FRUITS AND VEGETABLES FROM KANTO REGION IN JAPAN (26 March 2011)

The Media Release by AVA- http://www.ava.gov.sg/NR/rdonlyres/9253E7B2-E57D-4992-982C-1304E73748D6/18832/Pressrelease_Detectionofradioactivecontaminantsint.pdf

Wednesday, March 30, 2011

Titah KDYMM di Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddien Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Seminar Antarabangsa Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah sempena Sambutan Jubli Perak Pusat Da'wah Islamiah bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 24 Rabiulakhir 1432 / 29 Mac 2011

Image (c) Infofoto 2011


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajmaeen, Waba’du.
Alhamdulillah, syukur kehadrat allah subahanahu wata’ala di atas limpah rahmat-Nya kepada kita, sehingga dengannya, dapatlah kita berkumpul pada pagi ini di dalam suasana yang kudus lagi selesa.

Beta gembira dengan 'usaha besar' Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama menganjurkan seminar ‘Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah ini. Pertama kerana penyempenaannya dengan jubli perak Pusat Dakwah sendiri, dan kedua pemilihan topik ‘aqidah adalah sangat sesuai dengan keperluan semasa.

Beta masih ingat, diawal penubuhannya 25 tahun dahulu Pusat Dakwah juga telah mengadakan seminar yang sama, di mana Beta sendiri merasmikannya. Dan selepas 25 tahun berlalu, peristiwa yang sama berulang lagi, suatu sejarah yang amat bermakna bagi dakwah islamiah di Negara ini.

Topik ini penting bagi memberikan kefahaman yang betul kepada masyarakat. Kerana bukan tidak ada suara-suara yang sumbang mengenai ’aqidah pernah didengar atau dibawa ke negara ini, tetapi dengan adanya ’pegangan rasmi’ kita (’Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah), maka segala yang sumbang itu dapat ditolak atau ditangani.

’Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah telah dikenal pasti sebagai bersumber daripada al-Qur’an dan as-Sunnah, Ia teradun dan terbina daripada nas-nas dan dalil-dalil syara’ yang sahih. Ia juga terbukti sebagai dasar dan pegangan berugama yang berjaya, sehingga mampu menjadikan ummah dan negara benar-benar bahagia dan sejahtera.

Maka oleh itu, bagi tujuan untuk mengukuhkan lagi ‘aqidah ini di Negara Brunei Darussalam, Beta dengan amat sukacita mengumumkan penubuhan 'Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaa’ah' di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Kerana ia amatlah penting dipelajari, difahami dan dipegang kuat-kuat, supaya masyarakat kita terus selamat.

'Aqidah ini adalah merupakan satu pohon yang besar lagi rindang. Ia membenihkan cabang-cabang yang banyak, dan dari cabang-cabang itu keluarlah buah yang berkhasiat lagi lazat. Maka oleh itu, hendaklah ia dipelihara dan dijaga dengan sebaiknya, supaya terus sihat dan subur, tidak mudah dijangkiti oleh sebarang musuh perosak.

Namun kita tidah usah lupa, bahawa dari pengalaman, Negara Brunei Darussalam juga adalah tidak terlepas dari turut berhadapan dengan usaha-usaha penyibaran ajaran atau fahaman yang bertentangan dengan ’Aqidah Ahli Sunnah Waljama’ah.

Maka kerana itu, Kerajaan Beta sangat-sangat mengambil berat, melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama khasnya, dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain, supaya sama-sama berhati-hati dan tidak terlepas pandang terhadap anasir-anasir penyeleweng ’aqidah, kerana mereka itu amatlah berpotensi untuk menggugat keharmonian serta sekaligus mengancam kestabilan negara.

Kita tidak mahu virus-virus perosak itu merosakkan fahaman yang sudah berakar umbi di negara ini.

Oleh itu Beta berharap seminar ini akan membincangkan dengan besungguh-sungguh, bagaimana sepatutnya langkah-langkah disiapkan untuk membentengi masyarakat dan negara daripada virus-virus tersebut.

Pada hemat Beta, benteng-benteng itu perlulah menyeluruh, meliputi sudut-sudut perundangan, pendidikan, penyeldidikan, dan tidak terkecuali juga gerakan-gerakan dakwah islamiah sendiri dikehendaki lebih berkesan dan berterusan.

Semua pihak yang berkenaan itu diminta agar bersatu padu dalam usaha murni ini. Kerana apabila kita menampakkan perpaduan, maka itulah sebenar-benarnya benteng yang kukuh, yang membuatkan anasir-anasir berundur dari mendekati kita.

Beta sangat optimis, seminar ini, berupaya untuk menjelmakan kejayaan memperkuat ’aqidah, disamping membentengi negara dari anasir-anasir perosak ’aqidah.

Maka dengan lafaz Alhamdulillah, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Rasulillah serta bertabrruk dengan kalimat suci Bismillaahir Rahmaanir Raheem, Beta rasmikan "SEMINAR ANTARABANGSA 'AQIDAH AHLI SUNNAH WALJAMA'AH SEMPENA SAMBUTAN JUBLI PERAK PUSAT DAKWAH ISLAMIAH".

Sekian wabillahit taufeq walhidayah wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Source: PressRoom, Information Department

Wednesday, March 23, 2011

Dissolution of LegCo

Image (c) Infofoto 2011

It was announced on the radio and television news last Monday (21 March 2011) that the Legislative Council has been dissolved with effect from 15th March 2011. The Press Release from the Department of Councils of State reads:

Pemasyhuran Pembubaran Majlis Mesyuarat Negara [ Perkara 55 (1) ]

Dengan ini dimaklumkan kepada orang ramai bahawa Majlis Mesyuarat Negara telahpun dibubarkan mulai mengikut hari Selasa, 10 Rabiulakhir 1432H bersamaan 15 Mac 2011 mengikut Pemasyhuran Pembubaran Majlis Mesyuarat Negara di bawah Fasal (1) Perkara 55 dari Perlembagaan Negara Brunei Darussalam 1959.


From the RTB News:

The Department of the Legislative Council has informed the public that the State Legislative Council has been dissolved as from Tuesday, 10 Rabiulakhir 1432H corresponding to 15th March 2011.

In press release issued today, the Department of the Legislative Council informed that the dissolution is in accordance with the Declaration of the Dissolution of the State Legislative Council, under Clause (1) Article 55 from Brunei Darussalam Constitution 1959.


Source: RTB News, 21 Mac 2011.

note: It should be Department of Councils of State (Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat), not the Department of Legislative Council as reported by RTB.

Wednesday, March 16, 2011

Titah KDYMM di Mesyuarat Majlis Ugama Islam Brunei



Photos (c) Infofoto 2011

Titah Penuh Baginda Sultan semasa Mesyuarat Majlis Ugama Islam Brunei
15 Mac 2011

Hadir beta di Persidangan Majlis Ugama Islam pagi ini adalah selaku hamba Allah yang dilantik menjadi raja dan kepala negara serta ketua kerajaan bagi Negara Brunei Darussalam.

Selaku raja, kepala negara dan juga ketua kerajaan Beta adalah bertanggungjawab di hadapan Allah bersama dengan para pembantu Beta dalam Negara dan dalam kerajaan.

Maka atas asas inilah apa-apa jua yang akan Beta luahkan pada pagi ini adalah demi untuk mencari keredaan Allah jua, tidak ada yang lain daripada itu.

Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara tua, menjadi Negara Islam semenjak dari sultan pertamanya lagi, Sultan Muhammad Syah, Tahun 1363-1402 M, sekitar sebelum 200 tahun setelah zaman Baginda, Brunei mulai menggubal undang-undangnya sendiri yang dikenali sebagai "Hukum Kanun Brunei."

Undang-undang ini dipercayai telahpun ditulis pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad Hassan, tahun 1582-1598 M dan sempurna dilaksanakan serta dikuatkuasakan dalam zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalilul Akbar, tahun 1598-1659 dan diteruskan lagi sebagai menjunjung wasiat daripada Sultan Abdul Jalilul Akbar oleh anakanda Baginda, Sultan Abdul Jalilul Jabbar tahun 1659-1660.

Ini menunjukkan Hukum Kanun Brunei pernah menjadi undang-undang dasar kepada Brunei dalam makna undang-undang ini telah pernah berjalan dengan luasnya di Negara Brunei Darussalam sehingga sampai kepada kedatangan dan campurtangan Inggeris kemudian ini turut diakui oleh orang Inggeris sendiri yang datang ke Brunei pada 1871 M.

Apa dia kandungan Hukum Kanun Brunei itu? Menurut para pengkaji ia adalah berasaskan undang-undang Islam di samping terdapat unsur undang-undang adat Melayu. Ia terdiri daripada lebih 40 fasal dan lebih separuh adalah mengandungi unsur-unsur Islam antaranya termasuk juga Undang-Undang Jenayah Syarak. Mengenai perkara undang-undang ini, Beta telahpun memperkenankan penubuhan sebuah jawatankuasa yang diberi nama Jawatankuasa Mensesuaikan Undang-undang Dengan Kehendak Ugama tertubuh dari tahun 1980 lagi, sudah berlalu 30 tahun usianya.

Di dalam satu munasabah, Beta pernah bertitah bunyinya "Dengan rasa keimanan yang bulat terdapat peraturan dan undang-undang Allah, maka Beta telah memperkenankan penubuhan mahkamah-mahkamah syariah sehingga ke tahap setinggi-tingginya, bagi menangani bukan saja pentadbiran undang-undang keluarga malahan juga di ketika yang sesuai dan munasabah akan juga mengendalikan Kanun Jenayah Islam (Islamic Criminal Act) selengkapnya, sebagaimana yang dituntut oleh Allah Ta'ala.

Beta penuh yakin niat yang baik ini akan menjadi sumber berkat kepada negara serta rakyat yang berlindung di dalamnya. Titah Beta bertarikh 15 Julai 1996 bersempena Hari Keputeraan Beta Ke-50 Tahun.

Dua sistem perundangan dan dua sistem kehakiman dengan berlakunya campurtangan Inggeris dan seterusnya menjadi kuasa penaung di Brunei telah menjadikan perundangan di Brunei turut mengalami perubahan, dengan Undang-Undang Islam yang luas dan menyeluruh tadi telah disempitkan menjadi cuma tinggal Undang-Undang Mal dan Keluarga saja berbanding Mahkamah Sivil yang ditubuhkan oleh Inggeris mempunyai bidang kuasanya yang lebih luas dan natijah daripada ini Brunei sekarang telah mewarisi dua sistem perundangan dan dua sistem kehakiman, syarak dan sivil.

Bagaimanapun, bagi perundangan dan kehakiman syarak yang ada ini, sudahkah ia memenuhi semua tuntutan syarak mengenainya? Jika belum, persoalan kita ialah Negara ini adalah Negara Islam, rajanya juga Islam, majoriti rakyatnya Islam dan kuasa memerintah juga di tangan orang Islam.

Atas kedudukan seperti ini dari segi tuntutan syarak apakah kita sudah boleh menganggap yang diri kita ini telah memenuhi tuntutan tersebut khasnya dalam bidang perundangan.
Apakah kita sudah boleh berpuas hati untuk menganggap bahawa kita ini telah memenuhi tuntutan syarak sehingga tidak perlu lagi risau akan tuntutan atau dituntut atau disoal oleh Allah di kemudian hari kelak?

Dalam makna apakah kita sudah layak untuk menganggap diri kita boleh terlepas dari risiko pahit seperti yang disebut oleh Al-Quran, Firman Allah Ta'ala:
Surah Al-Ma'idah Ayat 44 tafsirnya, "Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah dalam makna mengingkarinya maka mereka itu adalah orang-orang kafir."

Surah Al-Ma'idah Ayat 45 tafsirnya, "Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim."

Surah Al-Ma'idah Ayat 47 tafsirnya, "Barangsiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik."

Apakah kita sudah boleh berpuas hati dan yakin bahawa kita dalam kedudukan sekarang ini akan dapat terlepas daripada amaran-amaran Allah itu?

Dengan segala kejujuran terhadap Allah, kita rasanya belumlah dapat membuat pengakuan berpuas hati memandangkan kita sekarang baru memiliki akta undang-undang biasa saja tanpa belum lagi secara khusus memiliki akta undang-undang jenayah syariah.

Tidakkah dengan kedudukan kita seperti ini kita masih saja diambang harus untuk menerima akibat buruk seperti yang disebut oleh ayat-ayat tersebut di atas kerana kita dalam perkara perundangan hanya baru masih memenuhi sebahagian saja tuntutan syarak sementara sebahagiannya lagi belum.

Walhal di sana ada peringatan Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 85 tafsirnya, "Adakah patut kamu hanya akan percaya kepada sebahagian dari isi kitab Allah dan mengingkari sebahagian yang lain. Maka tiadalah balasan bagi sesiapa yang berbuat demikian itu di antara kamu melainkan hanyalah kehinaan ketika hidup di dunia jua dan pada hari kiamat pula akan ditolak ke dalam azab seksa yang sangat berat, dan ingatlah Allah sesekali tidak lalai dengan apa-apa yang kamu lakukan."

Pada hemat Beta, dengan kita mempunyai dua sistem perundangan dan dua sistem kehakiman, syarak dan sivil, adalah tiada masalah jika ia dikekalkan berjalan seiring.

Yang sivil saja kita sudah banyak mensesuaikan dengan kehendak ugama, lagipun bukan semua sivil itu bertentangan dengan syarak. Mana-mana yang tidak bertentangan dengan syarak kita kekalkan ia, sementara yang bertentangan saja kita sesuaikan dengan kehendak syarak.

Matlamat kita cuma untuk mencari yang terbaik di dunia dan di akhirat.

Khusus mengenai Undang-Undang Jenayah Syarak, hanya ini saja lagi yang kita masih menelitinya.

Pada hemat Beta, Akta Jenayah Syarak tidak akan ada masalah jika kita memilikinya, di samping terus mengekalkan apa yang ada.

Kita perlu menelitinya dengan alasan-alasan berikut:

Kerana ia adalah undang-undang Allah dan kita dituntut supaya melaksanakannya. Kita selaku hamba yang beriman tidak ada pilihan lain melainkan wajib mentaati suruhan Allah.

Brunei bukanlah baru dengan Undang-Undang Allah tetapi sejak sebelum Abad Ke-17 lagi sudah pun memakainya, hanya oleh kerana campurtangan dari kuasa asing maka Brunei terpaksa atau lebih tepat dipaksa untuk meninggalkannya.

Sekarang Brunei sudah pun merdeka, berkuasa penuh untuk menguruskan dirinya sendiri dan dengan kuasa memerintah pula berada dalam tangan orang Islam, maka tidakkah bagi penguasa Islam dan umat Islam yang bernaung di bawahnya wajib untuk mengembalikan semula Undang-Undang Allah itu di bumi ini.

Kalau tidak, bererti kita semua berdosa dan akan ditanya di akhirat kelak.

Dalam masa jika Brunei memiliki undang-undang jenayah syariahnya ia juga boleh terus mengekalkan undang-undang yang sedia ada. Malah ia adalah mustahak. Mengapa? Kerana ke arah perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syarak itu bukanlah suatu perkara yang mudah tetapi amat sukar. Mengapa ia sukar? Kerana syarat-syaratnya terlampau ketat.

Seperti syarat keterangan bagi pensabitan satu-satu kes ia sungguh susah untuk dipenuhi. Misalnya bagi jenayah zina mesti ada 4 orang saksi lelaki Islam yang adil, yang mengaku menyaksikan keluar masuk alat lelaki ke dalam alat perempuan, yakni keempat-empat saksi itu mestilah sama-sama melihat keadaan dan perkara itu.

Jika tiga saksi saja misalnya yang melihat dan yang seorang lagi tidak, maka ini dianggap tidak memadai.Begitulah ketatnya syarat-syarat kesaksian bagi jenayah syarak itu sehingga ada yang menganggapnya sebagai mustahil untuk dapat memperolehnya.

Dalam masa yang sama kesusahan ini terjadi adalah sebagai rahmat Allah jua kepada manusia untuk menutupi aib manusia.

Walaupun ia tidak mudah dilaksanakan atau seperti mustahil untuk dapat dilaksanakan namun ia tetap dituntut untuk kita mempunyainya Akta Jenayah Syarak itu. Jika tidak pun tidak dapat dilaksanakan dalam keadaan-keadaan biasa tetapi mungkin dalam keadaan luar biasa yang tidak diduga seperti misalnya seorang mengaku berzina dan minta untuk diadili dengan undang-undang syarak maka pada ketika itulah akta ini diperlukan.

Tetapi bayangkan kalau kita tidak mempunyai, dengan apakah kita akan menyelesaikan masalah ini?

Mengingat sukarnya Undang-Undang Jenayah Syarak itu untuk dapat dilaksanakan tidakkah pula masih relevan jadinya undang-undang yang sedia ada sekarang dikekalkan dulu.

Mana-mana kes Jenayah Syarak akan dinilai terlebih dulu sama ada boleh, sesuai, mencukupi syarat-syarat untuk ditangani dengan Akta Jenayah Syarak ataupun tidak. Kalau tidak maka ia akan ditangani dengan undang-undang biasa yang ada sekarang, tetapi setelah ia dirujuk kepada Undang-undang Syarak terlebih dulu.

Ini berbeza dengan keadaan sekarang. Kita sekarang belum ada lagi mempunyai Akta Jenayah Syarak, makanya apabila ada kes, kita akan terus saja menangani dengan undang-undang biasa yang ada itu padahal Undang-Undang Syaraknya ada berupa Nas tersebut dalam Al-Quran dan dituntut kita melaksanakannya.

Apakah cara kita selama ini betul dan dibenarkan oleh syarak? Beta pulangkan kepada ahli-ahlinya.

Pada hemat Beta, untuk menangani jenayah sekarang itu kita wajar mempunyai akta sendiri yang benar-benar merujuk kepada hukum syarak, sementara akta yang ada sekarang juga dikekalkan untuk menangani sekiranya kes itu tidak sesuai atau tidak mencukupi syarat untuk ditangani dengan undang-undang syarak.

Kerana jika tidak begitu semua kes boleh dibatalkan begitu saja dan ini tentu akan mengundang kepada keadaan-keadaan tidak menentu di dalam masyarakat di mana semua tangkapan-tangkapan misalnya di bawah Bab-bab 177 dan 178 Akta Majlis Ugama Islam dan Mahkamah-Mahkamah Kadi Penggal 77 tidak boleh berjalan, dan jika tidak boleh berjalan ertinya jenayah-jenayah khalwat dan zina akan berleluasa jadinya.

Maka dengan itu Beta berpendapat akta yang ada masa ini pun masih relevan untuk dikekalkan di samping kita perlu juga ada Akta Jenayah Syarak sebagai middlenya bagi masa-masa tertentu, ia masih boleh dipakai.

Mudah-mudahan dengan cara ini Allah akan melapangkan kita daripada azabnya kerana tidak melaksanakan undang-undang.

Adapun tentang istilah atau nama bagi undang-undang Jenayah Syarak itu tidaklah mesti dipanggil hudud atau undang-undang hudud atau mahkamah hudud. Tidak mesti. Perkataan hudud itu mengandungi makna yang umum sebagai aturan-aturan atau batasan-batasan.

Di dalam Al-Quran ada beberapa ungkapan berbunyi hududullah ertinya aturan-aturan hukum Allah atau batasan-batasan hukum Allah atau syariah Allah. Ia sebenarnya meliputi semua hukum-hakam termasuk di antaranya hukum puasa, hukum bersatu dengan isteri dalam bulan puasa, hukum nikah kahwin dan pendeknya semua hukum-hakam untuk mengatur kehidupan dalam ibadat, akidah dan syariah.

Semuanya itu adalah mendukung maksud "hududud Allah" tetapi dalam konteks hukum jenayah sekarang istilah hudud ini sudah jadi tidak digemari dan malah dibenci oleh orang-orang Islam, ia dijadikan sebagai momok dan alasan untuk menolak Undang-undang Jenayah yang dikanunkan oleh Allah.

Jadi kalau kita tidak mahu memakai istilah ini pun pada hemat Beta tidaklah ia menjadi masalah, kita boleh namakan dengan lain-lain seperti misalnya Undang-Undang Jenayah Syarak atau Undang-Undang Jenayah Islam atau Undang-Undang Jenayah Allah Ta'ala dan lain-lain asal saja selari dengan "hududullah" atau aturan atau batasan hukum-hukum Allah. Habis perkara, tidak perlu lagi disebut-sebut Undang-Undang Hududkah atau Mahkamah Hududkah. Tidak lagi perlu.

Beta pulangkan kepada pihak-pihak berkaitan untuk mengambil keputusan, carilah formula bijaksana, yang penting matlamat dicapai demi mendapatkan reda Allah. Sekian.

Source: Media Permata, 16 Mac 2011, ms 5 & 10

Wednesday, March 9, 2011

Unpaid bills

I was shocked to learn that the arrears of bills from the public and private sector amounted to B$486.5 million as of 31 March 2010. This was revealed by the Minister of Finance (II) at the Prime Minister's Office, His Honourable Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Quoting from the Special Edition of LegCo meeting (Laporan Khas sempena Persidangan Majlis Mesyuarat Negara 2011), Pelita Brunei, 5 March 2010, page XII, His Honourable Minister of Finance (II) at Prime Minister's Office says:

"...Sehingga 31 Mac 2010 jumlah keseluruhan tunggakan orang ramai dan sektor swasta kepada kerajaan adalah berjumlah kira-kira BND486.5 juta yang mana antara lainnya termasuk Elektrik BND163 juta; Air BND67 juta' House Assesment BND40 juta; Telefon sebelum TelBru diperbadankan BND66 juta; Kemajuan Perumahan BND20.5 juta; Tanah BND7 juta; Badan Kemajuan Industri Brunei BND8juta dan lain-lain lagi. Bayangkanlah apa yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan jika tunggakan BND486.5 juta tersebut dijelaskan sepenuhnya. Jumlah ini boleh saja menampung pembinaan kira-kira 4000 buah rumah; atau 50 buah Pusat-Pusat Kesihatan; atau 23 buah Sekolah Menengah; ataupun 100 buah Sekolah Rendah; atau 250 kilometer (km) lebuh raya dan lain-lain lagi."

The unpaid bills include:
Electric bills - B$163 million
Water bills - B$67 million
Telephone bill (before TelBru) - B$66 million
House Assessment - B$40 million
Housing Development - B$20.5 million
BINA - B$8 million
Land tax - B$7 million
and so on...

These revenues were enough to build approximately 4,000 houses; or 50 Health centres; or 23 secondary schools; or 100 primary schools; or 250km of highway.

From Islamic point of view, it is not advisable to ignore these debts, as the utility we use will be not "Halal". Imagine we are performing ablution (ambil wudhu) with the unpaid water charges. Therefore, it is hoped that these debts could be cleared as soon as possible, for the sake of our future.

Wednesday, March 2, 2011

Titah KDYMM di Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan ke-7 Majlis Mesyuarat Negara


Photos (c) Infofoto 2011

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ke-7 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari Selasa 27 Rabiulawal 1432 / 1 Mac 2011

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhamaddin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana mengizinkan kita dapat berkumpul di Majlis Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan Ketujuh Majlis Mesyuarat Negara pada hari ini.

Beta terlebih dahulu, ingin mengucapkan tahniah kepada Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim di atas perlantikannya sebagai Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara yang baru.

Beta berharap semoga Yang Dipertua akan dapat menjalankan tugas dan kewajipan dengan sebaik-baiknya, demi mempertingkatkan lagi martabat Majlis Mesyuarat Negara, sebagai sebuah institusi yang sama-sama berperanan untuk kepentingan negara.

Di kesempatan ini juga, beta ingin merakamkan penghargaan beta kepada Pengiran Indera Mahkota Pengiran Anak (Dr.) Kemaludin Al-Haj ibni Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Mohd. Yassin di atas khidmat bakti, tenaga dan buah fikiran yang telah disumbangkannya selama menjadi Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negara.

Beta gembira mengikuti perkembangan persidangan yang telah berjaya memainkan peranannya untuk membincang dan membahas isu-isu utama pembangunan semasa.

Namun kita belum dapat berpuas hati, kerana setiap hari kita terus berhadapan dengan pelbagai perubahan dan cabaran untuk menguji kecekapan dan kewaspadaan kita. Sebagai contoh, baru saja ekonomi dan kewangan dunia sedikit pulih daripada cengkaman krisis yang dramatik, tiba-tiba giliran inflasi pula mula membebankan kehidupan sejagat, sehingga menggugat keharmonian dan kestabilan beberapa negara di dunia.

Alhamdulillah, kita di negara ini masih terpelihara dari tekanan inflasi tersebut, berkat adanya dasar dan usaha kerajaan untuk terus membantu rakyat dan penduduk melalui subsidi-subsidi dalam beberapa keperluan asasi. Kita hanyalah dikehendaki bersyukur dan mengelakkan sebarang pembaziran serta penyalahgunaan ke atas subsidi-subsidi yang dihulurkan itu.

Ingat, sebarang penyalahgunaan, seperti penyeludupan keluar barang-barang subsidi itu, hukumnya adalah haram dan satu jenayah. Maka oleh itu, semua agensi penguat kuasa bagi pencegahan adalah berkewajipan menanganinya.

Lain lagi isu bayaran yang tertunggak bagi kemudahan dan utiliti-utiliti yang disubsidi itu. Jumlahnya bukanlah sedikit, tetapi sehingga beratus juta ringgit.

Di samping membawa kerugian kepada kerajaan, ia juga turut melibatkan soal tabiat yang tidak baik, yang perlu diubah dan dikikis.

Beberapa bulan kebelakangan, fenomena bencana alam berlaku di beberapa bahagian dunia. Ada yang sampai mengakibatkan kerosakan-kerosakan besar, kesusahan dan juga nyawa terkorban.

Di negara kita juga turut mengalami banjir di beberapa tempat bahagian yang rendah, terutama kawasan-kawasan pendalaman. Namun alhamdulillah, kejadian-kejadian tersebut telah dapat ditangani dengan usaha dan semangat padu di kalangan agensi kerajaan dan orang ramai.

Sungguhpun begitu, beta tetap berharap, akan adanya rancangan dan tindakan oleh agensi-agensi berkenaan bagi mengurangkan kemungkinan banjir yang berulang-ulang.

Menyebut lagi tentang ekonomi dan kewangan. Walaupun pendapatan banyak, namun ia bukanlah jaminan bagi kestabilan dan kekukuhan kewangan, andainya ia tidak diurus dengan cekap dan berhemah.

Ini, dapat diambil iktibar daripada krisis hutang yang dialami oleh beberapa negara di dunia, yang berpunca daripada pelbagai sebab, antaranya perbelanjaan besar di luar kemampuan, pembaziran, rasuah dan lain-lain.

Untuk kelangsungan ekonomi dan kewangan, kita juga perlu meningkatkan produktiviti, yang bersinonim dengan peningkatan kapasiti. Oleh itu, kerajaan beta tetap mengutamakan peningkatan kapasiti (capacity building), demi menyedari, akan hebatnya saingan dari arus deras globalisasi. Ia juga penting untuk mengisi sebarang kehendak dan peluang pekerjaan dan perniagaan.

Maka untuk itu, kerajaan beta, secara berterusan telah menyediakan peruntukan yang bersesuaian kepada kementerian dan jabatan, bukan sahaja untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masing-masing, malahan juga dapat diambil peluang oleh belia-belia yang sedang mencari pekerjaan di sektor awam dan swasta.

Sehubungan itu beta juga gembira melihat latihan-latihan bersepadu yang diberikan kepada anak-anak muda untuk meningkatkan kemahiran perniagaan mereka. Penekanan kepada pendidikan teknikal dan vokasional yang dikuatkan oleh Kementerian Pendidikan adalah bertepatan pada masanya.

Kerajaan juga sedang menjana iklim perniagaan yang lebih kondusif. Pada misalnya, baru-baru ini beta telah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Pandu ‘Ease of Doing Business’ bagi tujuan untuk memudah cara business di negara ini, dan juga untuk meningkatkan kedudukan negara dalam indeks pencapaian ‘Ease of Doing Business’.

Beta berharap, semua lapisan rakyat dan penduduk, khasnya pihak swasta dan para belia, akan dapat sama-sama bergiat lebih progresif untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara ini. Kita janganlah terlepas peluang atau tertinggal di belakang disebabkan oleh sikap banyak menunggu atau asyik menonton sahaja.

Akhirnya beta menyeru kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat supaya dapat meneruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan pendalaman. Apa jua permasalahan itu kita tangani dengan baik dan sempurna dengan jalan berunding dan hati yang terbuka dalam dewan yang mulia ini.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Source: Press Room, Information Department

Titah Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-27, 2011

Photo (c) Infofoto 2011


Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Menyambut Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-27 pada 23hb Februari, 2011


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Aalameen, Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin Wa’alaa Aalihee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.
Semua perkara adalah berpunca daripada Allah. Nikmat daripada Allah dan musibah juga daripada Allah. Semua ini berlaku dengan hikmah dan sebab-sebab yang tersendiri.

Kerana itu sayugia diingat, dalam apa pun perkara, kita jangan melupakan Allah, termasuk ketika menyambut dan merayakan ulang tahun Hari Kebangsaan.

Tidakkah kita ingin mengimbas kembali detik bersejarah perisytiharan kemerdekaan, di mana kita telah membesarkan Allah di dalamnya? Kita telah pun sama-sama melafazkan ‘Allahu Akbar’, dengan tujuan, untuk mendapatkan restu Allah serta keberkatan dan pemeliharaan-Nya jua.

Alhamdulillah, tujuan ini tercapai, dengan kemerdekaan yang telah berumur 27 tahun itu sedang membuahkan nikmat dalam bentuk pelbagai kemajuan di semua bidang.

Namun, di samping menerima buah kemerdekaan dengan lebatnya, kita juga tidak lupa terhadap tanggungjawab memelihara kemerdekaan itu dengan amalan-amalan berhemah yang berpaksikan syukur.

Di antaranya, kita sekarang dalam langkah membudayakan amalan berjimat cermat dan berbelanja menurut kemampuan, sebagai salah satu usaha ke arah mengatur kewangan kita melalui perancangan kewangan atau financial planning.

Tujuan yang tersirat ialah untuk melakar perubahan sikap dan mentaliti menyeluruh, supaya rakyat terbiasa dengan cara sederhana serta tahu pula menghargai nilai.

Misalnya dalam menghargai subsidi kerajaan, kita perlu bersikap dan berfikiran seimbang, dengan berterima kasih di samping pandai memanfaatkannya melalui amalan mengelak pembaziran dan penyalahgunaan.

Ini, meliputi semua jenis subsidi, terutama keperluan-keperluan utama, seperti perubatan, pendidikan, jalan raya serta juga komoditi asasi, seperti perumahan, air elektrik, minyak, beras dan gula.

Kesemua perkhidmatan dan keperluan ini amatlah penting dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat. Pada realitinya, semua ini adalah bergantung kepada ekonomi dan kemampuan kewangan negara, yang pada setakat ini banyak bersandar kepada hasil minyak dan gas.

Maka dalam kedudukan ini, kerajaan sangatlah berhajat untuk mempelbagaikan ekonomi negara, agar pada masa hadapan, kita tidak hanya semata-mata bergantung kepada minyak dan gas sahaja.

Dengan negara mempunyai pelbagai ekonomi dan pandapatan yang lebih luas, serta ditambah pula dengan kadar pertumbuhan yang tinggi, maka peluang kita untuk terus makmur dan mewah adalah cerah.

Untuk mencapai matlamat inilah, kerajaan beta sangat menitikberatkan kemajuan pendidikan bagi tenaga-tenaga muda kita. Bagi sebuah negara yang kecil dengan penduduknya yang sedikit, kita sangat memerlukan rakyat yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pelbagai kemahiran strategik.

Tidak cukup dengan pendidikan tinggi semata-mata, anak-anak muda kita juga perlu memiliki sahsiah daripada calak Melayu Islam Beraja (MIB) dan jiwa murni daripada asuhan sempurna.

Untuk inilah, kita mengadakan sekolah, pusat latihan dan pengajian tinggi, tanpa mengabaikan juga pemberian biasiswa kepada lebih ramai penuntut yang berkelayakan sebagai pelaburan utama dalam memajukan human capital.
Turut menjadi utama ialah Perkhidmatan Awam. Ia adalah jentera dan pemudah cara untuk kerajaan melakar kemajuan. Pada masa ini sahaja, skop dan tahap hajat orang ramai terus meningkat, di mana Perkhidmatan Awam perlu menyediakan ruang yang luas, termasuk penyediaan dasar-dasar dan pelaksanaan yang cepat lagi berkesan.
Perkhidmatan Awam berkewajipan mengenal pasti sebarang kelemahan yang ada, serta menyediakan mekanisme bagi mengatasinya. Kelambatan atau kegagalan melaksanakan program-program kerajaan, sepatutnya tidak boleh berlaku, kerana ia berisiko tinggi boleh menjadikan persaingan kita lemah untuk menarik pelaburan asing.
Dari faktor-faktor semula jadi, kita sudah memiliki kekuatan-kekuatan tersendiri, di antaranya faktor ketenteraman dan kestabilan politik, ditambah lagi dengan asas ekonomi yang kukuh yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kita. Ini semua menjadi aset penting untuk lebih menarik lagi pelabur asing ke negara ini. Tinggal sahaja lagi, kita perlu pandai memelihara dan mempertahankannya.

Maka untuk itu, semua pihak, dari sektor awam dan swasta, perlulah meningkatkan lagi kesedaran mereka dalam usaha mengekalkan aset yang berharga ini.

Dengan itu nanti, insya-Allah, ia bukan sahaja akan meningkatkan lagi keyakinan pelabur-pelabur asing, malahan juga mampu untuk mengekalkan kemakmuran negara.

Akhirnya, beta dengan ikhlas merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada segenap lapisan rakyat serta penduduk negara ini termasuk semua peringkat, ahli Perkhidmatan Awam, pasukan-pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta di atas segala bentuk pengorbanan dan sumbangan mereka kepada negara.
Beta juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi dan lain-lain Jawatankuasa Sambutan Perayaan Ulang Tahun Ke-27 Hari Kebangsaan, dan semua peserta serta petugas yang turut berusaha untuk menjayakan perayaan ini.

Marilah kita sama-sama berdoa, semoga kita dan negara akan sentiasa terpelihara dan mendapat perlindungan daripada Allah Taala jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Source: Press Room, Information Department

Tuesday, February 22, 2011

Historic moments of Brunei (16th century - 1984)

In conjunction of our 27th National Day of Brunei Darussalam, let's look at the historic moments of Brunei Darussalam. Quote from "Ilahi Selamatkan Brunei Darussalam" by Badaruddin Othman (i.e. Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman), published by Pusat Da'wah Islamiah 2010, pages 23-28 and 53-56:
Timeline of Brunei History
* 1578 - Spanish expedition against Brunei, when Brunei rejected Christianity (Catholic).
* mid 17th century - Civil war in Brunei.
* 1839 - Appearance of James Brooke in Borneo which caused Brunei lost Limbang to Sarawak in March 1890.
* 1846 - (24 Dec) First official Brunei-UK Treaty (cession of Labuan).
*1847 - (27 May) Brunei-UK Treaty of Friendship and Commerce.
* 1878 - Cession of Sabah to Baron von Overbeck and Mr (later Sir) Alfred Dent (1844-1927).
* 1885 - Oath of Umanat or Amanat taken by the Brunei nobles. (pembesar-pembesar Brunei telah diminta bersumpah untuk tidak lagi menyerahkan tanah (wilayah) Brunei yang mereka miliki kepada orang asing).
* 1888 - Brunei, North Borneo, and Sarawak became British Protectorates.
* 1905 - 1906 - Signing of the Brunei-Britain Supplementary Treaty.
* 1929 - Discovery of Seria oil field.
* 1941-1945 - Japanese Military Administration in Brunei.
* 1949 - Formation of the frist Mohammedan Advisory Council under the Pengiran Bendahara (later Sultan Omar Ali Saifuddien III).
* 1950 - Death of Sultan Ahmad Tajuddin: Sultan Omar Ali Saifuddien III becomes the Sultan.
* 1956 - (Jan) Formation of Partai Rakyat Brunei (PRB).
* 1959 - (29 Sept) End of the British Residential Era; promulgation of Brunei's first written constitution and a new Brunei-UK treaty.
* 1962 - (Aug) First general election in Brunei.
(Dec) Crushing of PRB-led uprising. Constitution suspended. Emergency Rule declared.
* 1963 - (Sep) Formation of Malaysia (Peninsula Malaysia + Sabah + Sarawak + Singapore). Brunei did not join, Singapore left in 1965.
* 1967 - Abdication of Sultan Omar Ali Saifuddien III (r. 1950-1967), who then became known as the Seri Begawan Sultan (d. 1986). Also widely regarded as the "Architect of Modern Brunei."
* 1971 - (23 Nov) Amended Brunei-British Agreement Signed giving full internal self-government to Brunei.
* 1979 - (7 Jan) Amended Brunei-Britain Treaty of Friendship and Cooperation.
* 1984 - Independence for Brunei resumed. Menteri Besar system ended and the introduction of full (nominated) cabinet form of government with the Sultan as the Prime Minister.
As a Bruneian, we should be grateful for what we are blessed to a sovereign, fully-independent and democratic Sultanate. Let's fly our national flag proudly!!!
Let's ponder "ask not what country can do for you; ask what you can do for your country". (John Kennedy, 1961).
Negaraku Brunei Darussalam ~~~ Abode of Peace :-)